ASEAN Mall pusat sehenti pasarkan produk halal ASEAN

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh (dep dua, kanan) melawat Pusat Beli Belah ASEAN Mall di Pattani, semalam. - Foto Bernama
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh (dep dua, kanan) melawat Pusat Beli Belah ASEAN Mall di Pattani, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PATTANI - ASEAN Mall akan menjadi pusat sehenti bagi mempromosikan produk-produk halal dari negara anggota ASEAN untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Dibina pada kos 300 juta baht, ASEAN Mall berkeluasan 9,600 meter persegi yang menggabungkan konsep Wakaf dan komersial, dijangka mula beroperasi pada Oktober ini.

ASEAN Mall, di bawah projek Madinah Assalam Pattani, merupakan kerjasama antara Kumpulan Uniti Asia, Pattani Holdings dan Koperasi Islam, untuk memajukan ekonomi di wilayah selatan Thailand, khususnya Pattani.

Presiden Kumpulan Uniti Asia, Datuk Jamal Mohd Amin berkata ASEAN Mall akan menjadi satu platform jualan yang menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan Malaysia dan Thailand memasarkan produk halal untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Produk dan makanan dari negara-negara ASEAN akan dipasarkan di sini. Ia akan menjadi satu pusat sehenti untuk produk dan makanan signature negara-negara ASEAN. Ia akan menjadi satu platform untuk membantu usahawan tempatan dan ASEAN.

“Kami sedang menjalankan networking bagi menarik lebih ramai usahawan dari negara-negara ASEAN termasuk Indonesia, Filippina dan Laos untuk memasarkan produk mereka di ASEAN Mall,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan memainkan peranan untuk menjayakan ASEAN Mall dengan membawa usahawan di bawah bimbingannya memasarkan produk.

“Ini merupakan peluang perniagaan yang baik untuk para usahawan yang sekali gus dapat membantu mereka menembusi pasaran halal tempatan dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Selepas membuat tinjauan di sini, saya lihat ASEAN Mall berpotensi untuk menjadi hab produk halal ASEAN.

“Dengan adanya ASEAN Mall, pengunjung tidak perlu ke lokasi berlainan untuk mendapatkan produk ASEAN kerana semua boleh dapat di sini,” katanya.

Sebelum itu, Fuziah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sempena majlis prapelancaran ASEAN Mall di Pattani. - Bernama