Koperasi terajui sosioekonomi

A
A
A

GERAKAN koperasi bermula pada kurun ke-18 lagi atas kesedaran sekumpulan ahli masyarakat yang terdiri daripada golongan yang dieksploitasi atau ditindas apabila tercetusnya Revolusi Perindustrian di England. Koperasi pertama ditubuhkan pada tahun 1827 oleh seorang ahli akademik dan penulis, Dr William King, iaitu Brighton Co-operative Trading Association, namun menemui kegagalan.

Idea berkoperasi ini seterusnya diadaptasi oleh 28 penenun yang bersepakat menyumbangkan modal sebanyak 1 Pound Sterling seorang melalui penubuhan Rochdale Society Limited pada tahun 1844. Prinsip-prinsip koperasi yang digariskan ketika itu kemudiannya diakui sebagai falsafah 'Gerakan Koperasi' di seluruh dunia. Bermodalkan 28 Pound Sterling, mereka telah menubuhkan kedai koperasi pengguna yang pertama di dunia.

Kedai koperasi tersebut menjual barangan mengikut harga pasaran. Jual beli dilakukan secara tunai dan pembahagian keuntungan adalah berdasarkan jumlah pembelian yang dibuat oleh anggota. Dalam beberapa tahun sahaja, koperasi tersebut telah mencapai kejayaan besar daripada aspek keanggotaan, modal dan perniagaannya. Sejak itulah gerakan koperasi mula berkembang ke seluruh England, kemudiannya ke seluruh dunia termasuklah Malaysia.

Idea berkoperasi di Tanah Melayu mula diperkenalkan oleh Sir Arthur Young, Setiausaha Inggeris bagi Negeri-Negeri Selat, pada tahun 1907 hasil pemerhatian beliau terhadap kejayaan gerakan koperasi di Cyprus.

Undang-undang Koperasi pertama telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1922 dan koperasi pertama yang didaftarkan pada tahun yang sama ialah Syarikat Bekerjasama Jimat Cermat dan Pinjaman Wang Pekerja-Pekerja Jabatan Pos dan Telekom Berhad. Koperasi ini masih aktif hingga kini dengan nama Koperasi Telekom Malaysia Berhad (Kotamas) dan Koperasi Pos Nasional Berhad (Koponas).

Pada tahun 1938, sebanyak 76 koperasi jenis kredit ditubuhkan. Pada tahun berikutnya, jumlah koperasi meningkat kepada 515. Apabila negara kita mendapat kemerdekaan pada tahun 1957, terdapat 2,243 koperasi dengan modal pusingan sebanyak RM74 juta dan keanggotaan seramai 267,685 orang. Pada tahun 1971 pula, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) telah ditubuhkan.

Bagi tahun 2018, bilangan koperasi adalah sebanyak 14,247 dengan keanggotaan seramai enam juta orang. Jumlah syer dan yuran adalah sebanyak RM14.9 bilion dan aset sebanyak RM142.9 bilion. Daripada keseluruhan koperasi tersebut, sebanyak 9,735 koperasi yang menjadi anggota Angkasa dan bilangan ini dijangka akan meningkat kepada 11,000 pada tahun 2020.

Angkasa dan gerakan koperasi boleh dikatakan peneraju pembangunan sosioekonomi negara kerana peningkatan pertumbuhan perolehan koperasi dan sumbangannya kepada KDNK. Perolehan koperasi negara telah meningkat daripada RM35 bilion pada tahun 2014 kepada RM43 bilion pada tahun 2018. Penglibatan koperasi bukan sahaja tertumpu kepada sektor tradisional seperti peruncitan atau pemberian kredit semata-mata tetapi kini merangkumi lapan sektor utama.

Artikel Berkaitan:

Lapan sektor peneraju bagi gerakan koperasi ialah sektor kewangan; sektor pemborongan dan peruncitan; sektor pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; sektor pertanian dan industri asas tani, sektor perladangan; sektor pembangunan hartanah dan industri binaan; sektor inovasi, teknologi dan telekomunikasi serta sektor pembangunan komuniti.

Pencapaian terbesar koperasi mengikut fungsi adalah melalui perbankan iaitu Bank Rakyat dan Co-opbank Persatuan. Walaupun hanya dua koperasi yang menjalankan fungsi perbankan tetapi jumlah aset menjangkau RM110 bilion dengan perolehan sebanyak RM25.98 bilion. Keanggotaan pula seramai 954,000 orang dengan jumlah syer dan yuran sebanyak RM3.6 bilion.

Pada asasnya, koperasi ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti ekonomi yang menjadi keperluan setiap anggotanya secara bersama dan keuntungan yang terhasil akan diagihkan kembali kepada anggotanya.

Angkasa dan gerakan koperasi boleh dikatakan peneraju pembangunan sosioekonomi negara."

* Dr Johari Yap ialah Pengerusi Koperasi Macma Kelantan Berhad