Gabungan parti baharu untuk selamatkan kuasa politik Melayu

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disarankan menjenamakan gabungan baharu parti politik atas nama Parti Pribumi Bersatu (PPB) sekiranya mahu menyelamatkan kuasa politik Melayu.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, langkah itu dilihat lebih segar dan memberi keadilan buat semua parti yang ingin bergabung atas prinsip Melayu.

“Saya rasakan cadangan itu terbaik. Jika beliau yang merupakan seorang yang berjiwa besar sebagai Negarawan Melayu dengan menjemput semua parti politik Melayu, bersatu di bawah gabungan baharu, beliau perlu jenamakan gabungan baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu (PPB).

“Kumpulan Azmin (Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) boleh turut dijemput menyertainya. Kemudian bubarkan Parlimen untuk pilihan raya. Itu merupakan idea jika Dr Mahathir benar mahu menyelamatkan kuasa politik Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Mahatir ketika ini merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bersatu ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang dianggotai oleh bekas ahli UMNO seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertindak sebagai Presiden dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir selaku Timbalan Presiden Bersatu.

Dalam pada itu Wan Ahmad berkata, gabungan parti baharu atas nama PPB itu merupakan satu cara yang praktikal jika matlamatnya untuk menjamin hak-hak Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Kelmarin, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata, kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

Beliau berkata, dahulu parti yang mewakili orang Melayu hanya satu iaitu UMNO tetapi kerana tamak mendapatkan tempat, orang Melayu berpecah kepada enam parti.