Pelantikan Mat Nadzari akhiri polemik UMNO Selangor

Mat Nadzari
Mat Nadzari
A
A
A

SPEKULASI pelantikan Pengerusi UMNO Selangor kini terungkai apabila Setiausaha Agung parti, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan untuk memegang jawatan tersebut.

Pemilihan Mat Nadzari yang menjadi pemangku jawatan itu sebelum ini menamatkan polemik dalaman UMNO Selangor berikutan sebelum ini terdapat khabar angin mengaitkan beberapa nama lain yang dikatakan dipilih untuk mengisi kekosongan tersebut.

Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjadi Pengerusi UMNO Selangor melepaskan jawatan berkenaan berkuatkuasa 1 Mei lepas.

Ismail Sabri pernah menyatakan bahawa kekosongan kerusi yang ditinggalkan beliau itu akan dipangku Mat Nadzari buat sementara waktu sehingga calon baharu dilantik.

Namun begitu, menjelang pelantikan baharu bagi jawatan itu, terdapat pelbagai spekulasi yang mengaitkan beberapa nama calon untuk mengisi kekosongan itu.

Di samping itu, sebuah portal berita turut memetik sumber dan mendakwa UMNO Selangor telah menyenaraikan tiga nama calon untuk dilantik sebagai Pengerusi UMNO Selangor yang baharu.

Selain Mat Nadzari, dua lagi calon yang dipetik sumber berkenaan adalah Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Walaupun kepimpinan parti sudah memutuskan Mat Nadzari sebagai Pengerusi UMNO di negeri itu, persoalan lain mula timbul iaitu apakah beliau mendapat sokongan penuh daripada ketua-ketua bahagian lain?

Artikel Berkaitan:

Menurut Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Zurihan Yusop, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang kali itu perlu diterima oleh semua pihak sebagai keputusan terbaik setelah mendapat pertimbangan daripada Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Ujar beliau, Mat Nadzari yang merupakan antara ketua bahagian yang senior di Selangor. Kredibiliti beliau diyakini mampu menerajui kepimpinan parti dengan sebaiknya selepas ini.

“Buat masa ini, UMNO Selangor perlu segera bergerak dalam satu pasukan yang kuat dan padu.

“Di samping itu, kepimpinan parti juga diharap dapat segera merangka strategi dan gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri menyatakan sokongan terhadap keputusan yang dibuat kepimpinan parti yang memilih Mat Nadzari menerajui kepimpinan parti di peringkat negeri.

“Pemilihan Mat Nadzari bertepatan memandangkan beliau sebelum ini telah memangku jawatan tersebut yang ditinggalkan Ismail Sabri sejak Mei lepas.

“Pelantikan ini sekali gus dapat membantu pergerakan UMNO Selangor untuk lebih bersedia dalam menghadapi perang PRU15 nanti,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berpendapatan, walaupun Mat Nadzari tidak begitu dikenali di peringkat nasional, beliau merupakan antara pemimpin yang popular di Selangor dan tidak terpalit dengan sebarang isu melibatkan integriti.

Namun begitu, beliau berkata, kepimpinan Mat Nadzari perlu bergerak lebih agresif selepas ini bagi memastikan kemenangan UMNO di Selangor pada PRU15 akan datang.

“Saya rasa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga membuat keputusan untuk memilih Mat Nadzari berikutan beliau juga yakin dengan kepimpinan pihak berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga percaya pimpinan di peringkat bahagian akan dapat bekerjasama dengan Mat Nadzari selepas ini untuk menerajui UMNO Selangor dengan lebih mantap.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Prof Madya Dr Jeniri Amir pula berpendapat, Mat Nadzari dijangka bakal berdepan cabaran besar.

Beliau berkata, walaupun Mat Nadzari popular di kalangan pimpinan UMNO Selangor, namun ia tidak dapat dijadikan sebagai penanda aras terhadap kecemerlangan pentadbiran beliau selepas ini.

“Tambahan pula, PH sudah berakar umbi di Selangor sejak tiga penggal lalu jadi amat sukar untuk beliau pastikan UMNO masih relevan di negeri ini pada PRU 15 nanti,” katanya.

Menurutnya, pengalaman Mat Nadzari yang pernah berkhidmat sebagai timbalan pengerusi perhubungan di bawah kepimpinan dua bekas pengerusi sebelum ini dijangka dapat membantu melicinkan pergerakan UMNO Selangor selepas ini.