Polis, Perhilitan buat rondaan bersama di hutan

Dr Xavier Jayakumar sedang melihat kulit harimau yang dipamerkan selepas Majlis Perasmian Program Kerajasama AEON-Perhilitan Dalam Kempen Selamatkan Harimau Malaya hari ini. Foto: Bernama
Dr Xavier Jayakumar sedang melihat kulit harimau yang dipamerkan selepas Majlis Perasmian Program Kerajasama AEON-Perhilitan Dalam Kempen Selamatkan Harimau Malaya hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

TAIPING - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju untuk membantu renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membuat rondaan di dalam hutan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kerjasama itu perlu untuk membanteras pemburu haram terutama melibatkan Harimau Malaya selain membantu memusnahkan jerat yang dipasang pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya akan buat pengumuman mengenai operasi bersama dengan polis dalam masa terdekat, manakala kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih dalam peringkat rundingan kerana ia membabitkan isu teknikal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Selamatkan Harimau Malaya di sini hari ini.

Menurut Xavier, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 tidak membenarkan renjer hutan membawa senjata api dan ia sedikit sebanyak membataskan operasi pencegahan pemburu haram lebih-lebih lagi di kawasan yang bersempadan dengan negara jiran.

"Sebagai contoh, penceroboh masuk ke negara ini melalui sempadan Thailand dan Perak untuk memburu harimau. Hutan Royal Belum di Gerik merupakan hutan simpanan yang terbesar dan banyak harimau hidup di hutan itu," katanya.

Xavier berkata, sejak 2013 hingga tahun lepas, lebih 1,000 operasi jerat dilaksanakan di seluruh negara yang membawa kepada pemusnahan lebih 3,500 jerat

"Dalam tempoh tersebut 162 penceroboh telah ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan kes jenayah hidupan liar dan sepanjang tempoh itu juga 14 ekor harimau telah dijerat dan diburu secara haram,” katanya

Mengenai program hari ini, Xavier berkata kerjasama yang dibuat oleh Perhilitan dan AEON bertujuan mendapatkan dana untuk program menyelamatkan Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga akan membolehkan lebih ramai pegawai perhutanan diletakkan di dalam hutan untuk membuat rondaan, cari dan musnahkan jerat yang dipasang pemburu,” katanya. -Bernama