Oksana dedah kisah lamaran Sultan Muhammad V

Instagram Rihana Oksana Petra
A
A

SHAH ALAM - Isteri Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Rihana Oksana Petra menceritakan lamaran Sultan Muhammad V dalam perkongsian terbaharu di laman Instagram miliknya.

Oksana tidak akan melupakan malam yang amat romantis apabila Sultan Muhammad V meluahkan perasaannya.

"Beliau memberitahu yang dia telah jatuh cinta kepada saya pada kali pertama kami bertemu.

"Dia juga memberitahu yang dia amat menyenangi dengan saya dan ingin saya menjadi suri hatinya. Maka, itulah permulaan cerita cinta kami. Malaysia adalah tanah tumpah anak saya dan dengan adanya anak ini, saya tahu saya telah membuat pilihan yang amat tepat. Alhamdulillah," katanya.

Oksana turut menceritakan selepas pertemuan pertama, beliau dan Sultan Muhammad V meneruskan komunikasi melalui telefon setiap hari.

"Kami ingin berjumpa sekali lagi tetapi terlalu susah disebabkan kontrak peragawati saya, dan juga kerana kami berdua tinggal berjauhan. Saya juga diberi kontrak satu tahun di luar Rusia oleh sebuah syarikat yang terkenal untuk bekerja sama dengan syarikat tersebut," katanya.

Oksana memaklumkan menurut kontrak beliau terpaksa berpindah ke New York.

"Pada masa itu, bakal suami saya amat kecewa dan meminta saya supaya tidak membuat sebarang keputusan selagi tidak berjumpa sekali lagi. Kemudian saya mendapat jemputan untuk pergi ke Malaysia bersama ibu dan bapa saya. Jadi saya menerima jemputan itu dan pergi ke sana dengan ibu saya," katanya.

Menurutnya, beliau dan keluarganya terpesona apabila melihat sendiri negara ini.

"Saya telah jatuh cinta dengan Malaysia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Oksana dedah kisah pertemuan dengan Sultan Muhammad