Anak lihat bapa maut ditimpa dahan balak

No Image Caption
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pekerja syarikat pembalakan maut selepas ditimpa dahan berukuran lilit 40 sentimeter ketika memerhatikan kerja-kerja pembalakan di Sungai Akar, Sayong, di sini hari ini.

Turut difahaman kejadian yang menimpa Chan Kok Loi, 63, turut disaksikan anaknya sendiri yang berada di dalam jengkaut kira-kira 30 meter dari jarak bapanya dihempap dahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi ketika mangsa keluar dari jentolak dinaikinya lalu memerhati ke arah pokok yang ingin ditolaknya.

"Dalam masa sama anak mangsa yang memandu jengkaut sedang memerhatikan tindakan bapanya itu dari jarak lebih kurang 30 meter.

"Tiba-tiba satu dahan kayu yang besar telah jatuh dan menimpa mangsa. Ekoran dari itu anak mangsa dan pekerja berdekatan bergegas membantu mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Razali, anak mangsa cuba menyelamatkan bapanya dengan mengangkat dahan yang menimpa bapanya bersama pekerja lain selepas ia dipotong.

"Mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Kuala Kangsar bagi menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas tiba di hospital terbabit.

"Mayat kemudian di serahkan kepada Jabatan Forensik dan bedah siasat dijalankan pada jam 2 petang dan kematian disebabkan kecederaan parah di kepala," katanya.

Artikel Berkaitan: