Keliru pelawaan Dr Mahathir: Mohamed Khaled

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akui tidak akan terkejut jika ada mana-mana parti politik mahu bekerjasama dengan UMNO.

Menurutnya, bagaimanapun beliau tergamam, kelu dan keliru apabila Bersatu mahu mendekati dan mengajak UMNO menyertai parti tersebut.

"Seingat saya, UMNO sudah mati seperti yang didakwa oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"UMNO sudah rosak dan parti yang korup kerana kononnya mahu mempertahankan sesetengah pemimpin sahaja seperti yang dikecam Dr Mahathir.

"Jadi, adakah kini Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) tiba-tiba melihat UMNO sebagai parti mati yang hidup semula? Yang secara ajaib sudah tidak korup dan tidak rosak?," katanya di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, UMNO akan kekal menjadi UMNO dan terus berikhtiar mengubah diri serta menjadi lebih baik dengan prinsip dan aspirasi yang jelas.

"Dengan cara dan jalan kami demi orang Melayu, Islam dan Malaysia yang lebih maju.

"Malah dalam banyak kenyataan sebelum ini, UMNO berpendirian Bersatu bukan suara sebenar orang Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Ia hanyalah rakan kongsi DAP yang tidak serius dengan agenda Melayu. Jadi atas dasar prinsip, kami tidak mahu menjilat kembali ludah sendiri dengan menerima Bersatu," katanya.

Beliau berkata, secara peribadi dan UMNO sebagai sebuah parti, pelawaan Dr Mahathir untuk UMNO sertai Bersatu ditolak dengan baik dan tegas.

"Kami tidak mahu menjadi parti yang terdesak dan gilakan kuasa sehingga enggan memperbaiki diri dengan cara yang sewajarnya.

"Saya hanya berharap kepada Dr Mahathir untuk tidak menghalang kebangkitan dan pemulihan UMNO. Selamat maju jaya kepada Bersatu," katanya.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.