'Parti kecil kenalah masuk parti besar'

Saarani
Saarani
A
A
A

KUALA KANGSAR - "Parti kecil kenalah masuk parti besar," demikian reaksi Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mengenai pelawaan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengajak parti politik Melayu untuk menyertai Bersatu.

Menurutnya, UMNO dan Pas merupakan dua parti Melayu yang mempunyai majoriti ahli teramai berbanding empat parti yang lain.

"Parti besar yang ada sekarang ini adalah UMNO kemudian Pas. Sekarang UMNO dan Pas bersama.

"Parti kecil seperti Amanah, PKR dan bunga raya (Bersatu) kena bubar dan sertai UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan UMNO Bahagian Lenggong yang disempurnakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Kem PLKN Kota Lama, Kampung Ngor, di sini hari ini.

Saarani berkata, beliau menyambut baik pelawaan Perdana Menteri itu untuk membentuk perpaduan sesama kaum.

"Kita memang bersetuju dengan penyatuan itu tapi bukan UMNO masuk bunga raya (Bersatu) tetapi parti kecil kena sertai parti besar," katanya.

Semalam, Dr Mahathir ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor menyatakan penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.

Artikel Berkaitan: