Ceburi bidang kulinari berasaskan ikan tuna

Salahuddin menguji rasa Tuna Steak selepas memperkenalkan menu baharu tersebut di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.
Salahuddin menguji rasa Tuna Steak selepas memperkenalkan menu baharu tersebut di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menggalakkan penyertaan usahawan kecil dan sederhana tempatan untuk menceburi bidang kulinari berasaskan ikan tuna.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, golongan itu boleh berdaftar dengan Jabatan Perikanan untuk menjadi usahawan di bawah bimbingan kementerian.

"Macam menu daripada ikan salmon, hampir semua menu restoran terkemuka dalam negeri dan luar negara ada 'Smoked Salmon', jadi kenapa tidak kita boleh kemukakan juga 'Smoked Tuna'.

"Ini adalah di antara visi besar kita supaya menu-menu kita ini dapat diantarabangsakan," katanya pada sidang media selepas melancarkan promosi Tuna Steak dan Pembangunan Usahawan Tuna di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.

Terdahulu, beliau memperkenalkan menu baharu berasaskan ikan tuna iaitu Tuna Steak yang dijangkakan boleh memberikan pulangan besar kepada usahawan tempatan.

Salahuddin berkata, ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018, MOA telah memperkenalkan sektor kulinari yang mempromosikan sebahagian besar hidangan berasaskan makanan antaranya ikan tuna.

Mengulas lanjut mengenai Tuna Steak, katanya, sajian itu dihasilkan 100 peratus daripada ikan tuna sirip kuning yang kaya dengan pelbagai khasiat dan vitamin selain rendah kalori.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, beliau memberitahu MOA menerusi Jabatan Perikanan bersedia menjadi pemudahcara kepada para usahawan terlibat dalam bidang tersebut.

"Kita menjangkakan dengan pembangunan teknologi dan usaha penambahbaikan resipi bersesuaian dengan citarasa tempatan dan promosi berterusan, permintaan ke atas produk baharu iaitu Tuna Steak, Sate Tuna dan Tuna Burger boleh mencecah sehingga RM750,000 sebulan di seluruh negara.

"Kita juga yakin, dengan promosi bidang kulinari ini, menu-menu yang kita utarakan mampu untuk masuk ke pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Munir berkata, pihaknya akan menganjurkan padanan perniagaan melibatkan usahawan-usahawan selepas ini, bagi mengembangkan lagi bidang kulinari berasaskan tuna.

"Sebelum ini beberapa produk telah ada seperti sate tuna. Tetapi hari ini, Tuna Steak ini kita mula perkenalkan dengan harapan dapat diperkembangkan.

"Selepas ini, akan ada padanan perniagaan melibatkan para usahawan (kecil dan sederhana). Kita juga akan melibat samakan sektor perhotelan kelak," katanya.