Pekerja restoran tomyam dicekup

Polis lakukan serbuan dalam 'Ops Sarang' tiga lokasi di Tanjong Karang

Sebahagian suspek yang ditahan dalam 'Ops Sarang' di tiga lokasi sekitar Tanjong Karang.
Sebahagian suspek yang ditahan dalam 'Ops Sarang' di tiga lokasi sekitar Tanjong Karang.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang pekerja sebuah restoran tomyam warga Thailand dicekup kerana disyaki mengambil dadah dalam 'Ops Sarang' di sini, 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan sepasukan 11 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

Menurutnya, lelaki terbabit antara 10 lelaki yang ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar Tanjung Karang,.

"Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam dan berakhir 11 pagi itu, polis berjaya mencekup 10 suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Md Asri berkata, soal siasat polis mengenal pasti beberapa pengedar dadah jenis heroin dan syabu menjadi pembekal utama kepada penagih sekitar Tanjung Karang.

"Tindakan susulan ke atas pengedar dadah yang dikenal pasti diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya.

Md Asri berkata, hasil saringan ujian air kencing terhadap semua suspek mendapati positif dadah.

"Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Enam suspek disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tiga suspek di bawah Seksyen 12 (2) dan seorang di bawah 39A (1).

"Pihak polis berterusan melakukan risikan dan kolaboratif melalui agensi penguat kuasa lain serta orang awam dalam membendung ancaman dadah khususnya di daerah ini," katanya.