BAM masih tagih khidmat Hendrawan

Norza Zakaria
Norza Zakaria
A
A
A

JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan berdepan cabaran baharu apabila ditugaskan untuk melatih empat pemain meningkat naik yang bakal menjadi pengganti bekas pemain ranking nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Jurulatih dari Indonesia berusia 47 tahun itu dipertanggungjawabkan untuk melatih Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Cheam June Wei dan Lim Chong King sebagai persediaan mereka untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Manakala, Datuk Misbun Sidek kekal sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki negara yang ditugaskan untuk melatih bakat baharu seperti Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Tan Jia Wei, Ng Tze Yong serta pemain muda lain.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas mempengerusikan Mesyarat Ahli Majlis BAM berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan kedua-dua jurulatih berkenaan.

"Misbun telah menerima tawaran kita untuk terus jadi ketua jurulatih perseorangan lelaki. Selain ditugaskan untuk melatih beberapa nama yang telah disebut tadi, beliau juga diberikan tugas untuk mencari bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan.

"Kepakaran dan pengetahuan Hendrawan dalam sukan badminton sangat bernilai dalam konteks arena sukan Malaysia. Kita sudah berbincang dengan mereka dan kedua-duanya telah bersetuju dengan tugas masing-masing,” katanya kepada media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini.

Mohamad Norza berkata Hendrawan akan meneruskan perancangan yang disediakan untuk melatih Chong Wei kepada empat pemain perseorangan yang ditugaskan itu.

Sebelum ini status Hendrawan yang masih mempunyai kontrak sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi persoalan selepas lagenda badminton negara mengumumkan persaraan bulan lepas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Norza turut mengumumkan Chin Eei Hui dilantik sebagai Ketua Jurulatih Beregu Campuran menggantikan Pang Cheh Chang. Eei Hui akan dibantu oleh Teo Kok Siang.

Pang telah ditugaskan untuk menjadi jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sejak minggu lepas.

Kata Mohamad Norza, BAM akan mewujudkan sistem ranking kebangsaan menggunakan konsep dan prinsip sama seperti sistem ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bermula 1 Ogos ini.

Selain membincangkan mengenai penstrukturan semula bahagian latihan dan kejurulatihan (C&T), mesyuarat itu turut membincangkan mengenai penstrukturan pengurusan BAM.

"Majlis bersetuju untuk mengambil satu langkah ke hadapan dengan mempersetujui jawatan setiausaha agung merupakan jawatan sepenuh masa. Dalam hal ini majlis bersetuju melantik Datuk Kenny Goh selaku Setiausaha Agung BAM sepenuh masa yang pertama berkuat kuasa 1 Sept 2019,” katanya. -Bernama