Elaun bulanan Pengerusi LPA Yapeim RM15,000, bukan RM200,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menegaskan elaun bulanan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim (LPA) adalah berjumlah RM15,000 dan bukannya RM200,000 seperti yang ditularkan.

Pemangku Ketua Pengarah Yapeim, Parihah Hasan berkata, bayaran elaun tersebut adalah setimpal dengan peranan dan tanggungjawab Pengerusi LPA sebagaimana yang termaktub dalam Surat Ikatan Amanah Yapeim.

Katanya, bayaran elaun itu menggunakan dana daripada akaun Yapeim yang dijana daripada sumber perniagaan dan bukan daripada Dana Tabung Amanah (dana amal jariah).

“Jumlah elaun adalah RM15,000. Ini adalah sejajar dengan tugas dan tanggungjawab Pengerusi LPA dan semua ahli LPA dalam pembangunan perniagaan YaPEIM di samping memantau dan memastikan urusan tadbir urus Yapeim mengikut amalan tadbir urus yang baik dalam semua aspek termasuk Pengurusan Tabung Amanah Yapeim.

“Pihak LPA juga telah memutuskan pengurangan kadar elaun bagi Pengerusi LPA mengambilkira kedudukan dan prestasi semasa kewangan Yapeim,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menafikan dakwaan yang tular di media sosial iaitu Pengerusi LPA menerima elaun RM200,000 sedangkan anak-anak yatim dan miskin hanya mendapat sumbangan RM120 setahun.

“Yapeim menafikan sekeras-kerasnya kenyataan di atas memandangkan ia adalah tidak benar dan fitnah serta bertujuan menjatuhkan imej dan reputasi Yapeim,” tegas Parihah.

Beliau menambah, Yapeim sentiasa prihatin dengan urusan kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim dan miskin, di mana yayasan itu telah membelanjakan sejumlah RM1.68 juta pada 2019 menerusi Program Inspirasi Ramadan Yapeim 1440H kepada kumpulan sasar yang melibatkan 14,000 anak yatim serta miskin seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program tersebut telah dilaksanakan sejak 2016 dan sehingga kini, jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM6.70 juta yang melibatkan seramai 56,000 orang anak yatim serta miskin.

“Selain itu, sepanjang bulan Ramadan lalu, Yapeim juga telah membelanjakan sumbangan amal jariah kepada kumpulan sasar selain daripada penerima manfaat yang di atas yang terdiri daripada 5,200 keluarga miskin atau ibu tunggal yang berjumlah RM364,000.

“Yapeim juga memberi bantuan tunai kepada anak yatim yang kematian ketua keluarga disebabkan musibah seperti kemalangan, lemas, terbakar dan gempa bumi melalui Program Sinar Kasih sepanjang 2010 hingga 2019. Sejumlah RM8,417,935 sumbangan yang telah diperuntukan bagi menyantuni 2,190 orang anak yatim yang melibatkan 744 buah keluarga,” katanya.

Selain daripada aktiviti kebajikan dan amal jariah, Parihah berkata, Yapeim juga terus membantu masyarakat melalui aktiviti sosial bisnes terutamanya dalam aspek keusahawanan seperti menyediakan pinjaman Mikro Kredit Ar Rahnu Yapeim.

Katanya, sehingga kini seramai 686,776 orang telah disantuni dan 135,602 orang adalah merupakan usahawan dan sebanyak RM2.09 bilion (23.13%) pinjaman telah dikeluarkan kepada usahawan bagi tujuan perniagaan.

“Yapeim juga telah menyediakan kursus, latihan dan peluang jaringan kerjasama serta platform jualan barangan dan perkhidmatan kepada usahawan-usahawan,” katanya.