Penglibatan Dong Zong dalam jawatankuasa PPDUEC tak adil: Gapena

Zainal Adibin - FOTO ZAHID IZZANI
Zainal Adibin - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) menyifatkan penglibatan wakil Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai ahli dalam jawatankuasa Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) adalah tidak adil.

Ketua Satunya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, penglibatan Dong Zong itu akan menjejaskan integriti pengumpulan data berkaitan UEC.

“Ini adalah satu tindakan yang tidak adil. Tidak sepatutnya pihak yang menjadi sebahagian daripada masalah ini berada dalam jawatankuasa PPDUEC.

“Nampak tak kenalah, kenapa dia perlu ada? Bagaimana dengan kerahsiaan dan integriti jawatankuasa itu. Itu alasan mengapa kami tidak hadir ketika dipanggil PPDUEC baru-baru ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Gapena ke-48 Tahun 2019, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kajian menyeluruh pengiktirafan UEC Julai ini

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Gapena tetap dengan pendirian untuk menolak pengiktirafan UEC kerana menyifatkan ia bercanggah dengan sistem pendidikan kebangsaan sekali gus menolak perpaduan di negara ini.

“Asas pendidikan kebangsaan adalah perpaduan yang membina karakter bangsa Malaysia, sebaliknya UEC itu mencipta watak yang anti perpaduan dan itu alasan utama mengapa kita menolak ia diiktiraf.

“Perkara pokok yang perlu dilihat semula bagaimana kita mahu wujudkan masyarakat bersatu padu apabila ada yang tidak menerima bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dan itu yang kita kata mereka menolak perpaduan,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian dan menolak segala campur tangan politik berhubung perkara ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita harap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian, jangan menimbulkan kerumitan. Jalan mudah, mereka (UEC) perlu masuk dalam sistem kebangsaan. Falsafah pendidikan negara tidak akan tercapai sekiranya UEC diiktiraf.

“Jangan mengiktiraf semata-mata kerana politik kerana perkara pokoknya adalah untuk mencipta satu bangsa Malaysia dab itu lebih penting,” katanya.

Pasukan petugas dasar UEC dipengerusikan Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka), Eddin Khoo Bu Eng serta dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing.