Sekolah perlu ada SOP pencemaran udara

Hassan (duduk,kiri) ketika berucap pada sidang media, di sini hari ini.
Hassan (duduk,kiri) ketika berucap pada sidang media, di sini hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk berhadapan dengan insiden tidak diingini seperti pencemaran dan keracunan udara perlu diwujudkan di setiap sekolah bagi memastikan situasi boleh dikawal dari mula.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ia berikutan inisiatif terbabit adalah perkara mustahak yang tidak dipraktikkan sejak pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Mac lalu.

Menurutnya, kelekaan itu kemudiannya membawa kepada situasi panik dalam kalangan pelajar sekolah ketika insiden itu berlaku selain turut wujud ketegangan antara keluarga dan pihak sekolah sendiri.

“Kita mahu cadangkan wujud satu SOP untuk berhadapan dengan situasi-situasi seperti ini. Buat masa ini SOP menghadapi bencana memang ada tetapi lebih kepada kejadian kebakaran.

“Setakat ini kita dimaklumkan tiada pun SOP untuk menangani pencemaran udara seperti ini. Kita dapati dalam keadaan seperti ini wujud ketegangan dalam sekolah kerana sekolah tidak mempunyai kuasa untuk tutup sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika selesai mempengerusikan Sidang Meja Bulat Pemimpin Pasir Gudang Berhubung Insiden Pencemaran Udara di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Damai, di sini hari ini.

Hassan berkata, hasil daripada perbincangan itu juga membawa kepada cadangan lain untuk menutup sementara kilang-kilang kimia yang disyaki terlibat melepaskan udara tidak sihat.

Katanya, perkara itu juga bagi membantu siasatan pihak berkuasa melibatkan semua jenis pihak tidak kira kilang haram mahupun kilang berlesen.

Artikel Berkaitan:

"Rumusan secara bertulis akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sementara itu, saya juga akan memohon pertemuan empat mata dengan Menteri Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin dalam sesi parlimen akan datang," katanya.