Bagi alasan nak makan durian ponteng solat Jumaat

Lima di antara tujuh lelaki yang ditahan kerana ponteng solat Jumaat disoal siasat oleh anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi 'Ponteng Solat Jumaat' di Pulau Kekabu, Marang, semalam.
Lima di antara tujuh lelaki yang ditahan kerana ponteng solat Jumaat disoal siasat oleh anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi 'Ponteng Solat Jumaat' di Pulau Kekabu, Marang, semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tujuh lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan empat memberi alasan ponteng solat Jumaat kerana hendak menjamu durian ketika dicekup dalam satu operasi 'Ponteng Solat Jumaat' di Pulau Kekabu, Marang, semalam.

Malah lebih menyedihkan ada di antara mereka dengan selamba memberi alasan 'malas' untuk pergi solat Jumaat sedangkan dalam masa sama sebahagian daripadanya sudah memakai pakaian lengkap berbaju Melayu dan bersongkok.

Kesemua mereka berusia antara 16 hingga 40 tahun itu ditahan dalam satu operasi yang melibatkan anggota daripada penguat kuasa ibu pejabat, penguat kuasa Pejabat Agama daerah Marang dan Hulu Terengganu, kira-kira jam 11.30 pagi.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Zuhaiza Ismail berkata, kesemua mereka ditangkap ketika sedang melepak sambil menjamu durian di kawasan tersebut, kira-kira jam 2.10 petang.

"Sebelum serbuan dilakukan, beberapa anggota penguat kuasa wanita ditempatkan di kawasan tersebut untuk memantau kumpulan terbabit.

"Sebaik selesai solat Jumaat penguat kuasa lelaki bergegas ke lokasi. Tetapi sejurus menyedari kehadiran kami, mereka cuba melarikan diri sehingga ada yang sanggup terjun di dalam air semata-mata mengelak daripada dicekup.

"Bagaimanapun, tujuh daripada mereka berjaya ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Marang untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui d ipejabatnya, hari ini.

Nik Zuhaiza berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak merupakan suatu kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.