Punca penyakit Irfan Wafiy belum dapat dipastikan: Dzulkefly

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Punca penyakit dihidapi Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, belum dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan pencemaran toksik dari Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor atau sebaliknya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, myokymia yang dihidapi Irfan Wafiy tidak semestinya berpunca daripada bahan kimia, kerana ada banyak kemungkinan lain punca kepada penyakit ini.

Katanya, pihaknya akan berjumpa dengan keluarga Irfan Wafiy dalam waktu terdekat dan memberi penjelasan mengenai penyakit tersebut dengan lebih terperinci.

"Punca penyakit adik Irfan Wafiy ini belum dapat kita sahkan lagi, dan masih menunggu laporan, tetapi kita akan pastikan dia dirawat oleh pakar pediatrik dan neurologi dengan sempurna.

"Masyarakat kita jangan silap faham apabila dengar myokymia, mesti disebabkan kimia, tidak, ia tidak semestinya begitu, kerana ada banyak punca lain yang boleh menyebabkan penyakit ini.

"Saya akan mengambil penuh tanggungjawab untuk pastikan ibu bapa Irfan Wafiy diberi penjelasan sebaiknya dan dia akan dirawat oleh pakar-pakar kita. Saya yakin ia dapat diurus walaupun kita semua tahu kebimbangan keluarganya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di Pantai Saujana, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Irfan Wafiy sebelum ini sangat aktif berlari, berenang dan bebas melakukan apa sahaja bagi menjalani zaman kanak-kanaknya.

Kini, setiap pergerakannya terbatas selepas disahkan menghidap myokymia, iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar.

Irfan Wafiy, anak keempat daripada lima beradik diduga dengan penyakit seakan-akan parkinson, dipercayai selepas terdedah dengan pencemaran toksik dari Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Mac lalu.

Pada 7 Mac lalu, 103 pelajar dan penduduk di sekitar Sungai Kim Kim sakit dan dimasukkan ke hospital akibat terhidu gas beracun.

Selepas penyiasatan awal dibuat, pihak berkuasa mengenal pasti puncanya ialah daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim-Kim.

ARTIKEL BERKAITAN: Irfan Wafiy positif Myokymia kerana toksik