Lelaki rugi RM1,000 garaj, bumbung kereta diserang gajah

Keadaan tanaman yang dirosakkan gajah tersebut. Gambar kanan: Keadaan garaj dan kereta yang diserang gajah.
A
A

KLUANG - Seorang lelaki di Kampung Sri Timur, di sini, kerugian kira-kira RM1,000 apabila garaj dan bumbung keretanya rosak diserang dua ekor gajah dalam kejadian awal pagi tadi.

Afian Kamin, 36, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, dia yang sedang nyenyak tidur bersama keluarganya terkejut selepas terdengar bunyi bising dari arah luar rumah sebelum terdengar bunyi zink dipijak.

"Saya kemudian lihat dari celah tingkap dan lihat ada dua ekor gajah kemungkinan jantan dan betina berada betul-betul di luar rumah dan ketika itu garaj kereta saya sudah roboh dan tiangnya pula menghempap kereta saya.

"Ketika itu, isteri, ibu mertua dan dua anak saya juga turut bangun dan kami semua ketakutan kerana risau sekiranya gajah tersebut naik minyak dan lakukan lebih banyak kerosakan sehingga nyawa kami terancam," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, dia dan keluarganya juga bernasib baik selepas gajah-gajah berkenaan terus beredar selepas merosakkan garaj keretanya sebelum pergi ke halaman rumah dan merosakkan tanaman seperti pokok kelapa dan kelapa sawit.

Katanya, gajah-gajah tersebut mula beredar dari kawasan rumahnya kira-kira jam tiga pagi sebelum pergi ke Balai Polis Kampung Gajah untuk meminta nombor telefon Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kluang.

"Ini merupakan kali pertama rumah saya diserang gajah selepas hampir 12 tahun menetap di sini dan kawasan ini memang banyak gajah tetapi tidak sampai merosakkan rumah penduduk dan apa yang saya lihat, gajah-gajah ini semakin berani memasuki kawasan kampung berbanding hanya berada di kawasan kebun sahaja sebelum ini.

"Minggu lalu pun ada gajah berhampiran rumah saya tetapi kerosakannya tidak seteruk hari ini dan berdasarkan pengamatan saya sebelum ini, gajah-gajah ini akan datang pada musim buah seperti bulan ini kerana sekarang memang musim rambutan dan durian," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Johor, Salman Saaban berkata, beliau akan mengarahkan kakitangan Jabatan Perhilitan Kluang untuk ke lokasi kejadian bagi memantau dan mengawal keadaan.

Pada 23 Jun lalu, Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan dalam lawatannya ke Pejabat Perhilitan Kluang berkata, sehingga bulan Jun tahun ini, Jabatan Perhilitan Negeri Johor telah menerima 11 aduan berkaitan serangan gajah di daerah Kluang berbanding 27 aduan sepanjang tahun lalu dan terdapat satu tangkapan gajah yang telah dilakukan pada tahun ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia