X

Kindly register in order to view this article
!

Menteri ucap takziah penyelam jadi korban bom ikan

Mohamaddin Ketapi - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan nelayan tempatan melakukan aktiviti pengeboman ikan sehingga mengakibatkan dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan terbunuh di perairan Semporna, semalam.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beliau mahu pihak yang bersalah dikenakan hukuman setimpal dan aktiviti tersebut dihentikan segera sebelum banyak lagi nyawa terkorban.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dilaporkan mengesahkan kejadian tersebut.

Media tempatan melaporkan kejadian didakwa berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang itu apabila ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna sebelum terkena bom ikan yang dibaling nelayan tempatan berhampiran lokasi mangsa menyelam.

Menurut laporan itu, pengendali bot yang membawa mangsa ke lokasi menyelam berhampiran Pulau Bim-Bum itu telah membuat laporan polis.

Mohamaddin berkata, perbuatan dan aktiviti seumpama itu tidak hanya membahayakan pelancong malah akan turut mengganggu ekosistem di perairan tersebut.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan saya sedang menunggu laporan penuh polis berhubung kejadian terbabit," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, aktiviti bom ikan tersebut bukanlah perkara baharu kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memaklumkan kejadian seumpama itu sebelum ini.

“Apa yang lebih penting buat masa ini adalah memastikan keselamatan perjalanan dan aktiviti pelancong yang sedang bercuti di kawasan terbabit sentiasa terjamin,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Ajal terkena bom ikan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!