Nasib pasangan keluarga komuter

A
A
A

MEMANG mengejutkan juga apabila saya terbaca tentang ramai suami isteri berjauhan disebabkan pekerjaan. Dianggarkan terdapat lebih daripada 500,000 pasangan menjalani hidup begitu di Malaysia. Pasangan suami isteri yang terpisah ini diistilahkan sebagai keluarga komuter pula.

Angka yang begitu besar itu pula saya tidak pasti ia adalah melibatkan ramai kakitangan awam atau swasta. Mungkin anggaran untuk kedua-kedua sektor juga. Istilah keluarga komuter pula tidaklah saya tahu kenapa ia digelar begitu. Mungkin juga disebabkan ada pasangan yang menaiki komuter untuk pulang bertemu keluarga.

Sebenarnya saya juga merupakan seorang yang berjauhan dengan keluarga sebelum ini. Selama setahun juga saya berulang-alik dari Kuala lumpur ke Pulau Pinang. Biasanya diistilahkan sebagai weekend husband atau suami mingguan. Saya tidak menaiki ETS kerana setiap kali saya hendak membeli tiket ETS, selalu sahaja habis. Menaiki komuter pula jarang-jarang sekali.

Biasanya saya menaiki LRT sahaja untuk ke tempat kerja. Untuk pulang ke kampung berjumpa keluarga saya menaiki bas pula. Jadi saya mungkin tidak sesuai diistilahkan sebagai keluarga komuter. Mungkin keluarga bas, agaknyalah.

Setiap minggu saya akan pulang ke Pulau Pinang. Kebiasaannya hari Jumaat, selepas kerja saya akan menaiki bas di stesen kereta api lama di Stesen Kuala Lumpur. Saya akan mengambil tiket pada jam 7.40 malam dan akan sampai ke Pulau Pinang pada jam 12 tengah malam atau 1 pagi.

Untuk pulang ke Kuala Lumpur saya akan mengambil bas pada jam 12 tengah malam pula dan akan sampai pada jam 4 pagi. Kemudian ambil Grab dan terus pulang ke bilik sewa. Tidur sekejap sebelum bangun semula untuk bersedia ke tempat kerja pula.

Pada awal-awal permulaan menjalani hidup sebagai suami mingguan ini, agak tidak selesa juga. Ini kerana terpaksa berjauhan selama seminggu tidak bersama isteri dan anak-anak. Disebabkan kerinduan kepada keluarga, maka saya akan pulang tiap-tiap minggu. Pada mulanya dengan keadaan ini tidaklah meletihkan.

Namun selepas beberapa bulan berulang alik setiap minggu, badan mula terasa letih. Ditambah lagi dengan bebanan kewangan, maka saya mula pulang ke kampung setiap dua minggu pula.

Artikel Berkaitan:

Memang menjadi suami isteri berjarak jauh ini akan memberi tekanan lebih kepada isteri sebenarnya. Terutama apabila si isteri terpaksa berhempas pulas menguruskan rumah tangga dan anak-anak bersendirian pula.

Cuba bayangkan jika anak sakit di tengah malam. Si isteri terpaksa membawa anak ke klinik dan meninggalkan anak yang lain di rumah pula. Dan cuba bayangkan lagi jika anak terpaksa ditahan wad pula.

Memang ia menjadikan isteri keletihan, kemurungan dan juga mudah sakit jika tidak ditangani dengan baik akan permasalahan ini.

Si suami yang berjauhan ini pula, pada pendapat saya, tidaklah terlalu tertekan. Ini kerana jika si suami mingguan tidak pulang pada minggu itu, mereka tidak akan berbuat apa-apa pun.

Mereka mungkin akan tidur sahaja atau bersiar-siar di bandar Kuala Lumpur pula. Mereka ini juga mungkin boleh digelarkan sebagai lelaki bujang mingguan. Mereka ini juga tidak akan murung bahkan mungkin merasa bahagia pula. Yang murung ialah si isteri yang menguruskan segala-segalanya seorang diri.

Saya tidak pasti pula jika ada si suami yang murung ketika berjauhan dengan isteri. Jika ada yang murung baguslah begitu. Ini menandakan mereka memang suami penyayang.

Renggang

Bagaimanapun, seperti yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ia memang tidak baik untuk keharmonian keluarga. Ini kerana ia akan merenggangkan hubungan kekeluargaan terutama antara anak yang sedang membesar.

Satu pendekatan holistik seperti yang selalu disebut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik perlulah dicari untuk menyelesaikan masalah ini. Cadangan Dr Wan Azizah supaya majikan memberi sedikit kebebasan kepada pasangan komuter ini dengan mengaplikasikan waktu kerja anjal amat bagus.

Waktu kerja anjal ini sedikit sebanyak dapat membantu pasangan yang berjauhan untuk mempunyai lebih masa bersama keluarga. Masa yang dihabiskan bersama keluarga ini akan menghasilkan keluarga yang harmoni dan baik untuk kehidupan masyarakat dan negara.

Namun begitu ia terpulanglah kepada majikan pula. Mungkin majikan kerajaan untuk sektor awam tiada masalah untuk aplikasikan perkara ini. Tetapi bagaimana dengan majikan swasta? Mungkin menjadi umpama mimpi dalam mimpi pula.

Sebenarnya saya ada cadangan juga. Cadangan holistik saya ini mungkin pihak kerajaan boleh fikirkan. Daripada berbelanja membeli syarikat tol yang dikatakan dapat memberi penjimatan yang lebih kepada pengguna, elok sahaja memberi gaji bulanan kepada pasangan berjauhan yang sanggup berhenti kerja untuk menguruskan keluarga.

Maka selesailah masalah keluarga komuter yang murung ini. Setuju?