Perbuatan buruk dirasakan indah

A
A
A

SECARA jujurnya, tidak ramai yang ada kemahiran introspection atau boleh melihat diri kita dari dalam. Jika dapat meneroka diri kita dari dalam, tentunya kita dapat melihat secara jelas sifat baik dan buruk yang ada dalam diri serta dapat mengenal pasti segala kekuatan dan kelemahan yang ada. Pun begitu, kemahiran sebegini tidak boleh dipelajari selagi kita bersifat tertutup, lebih merasakan diri kita lebih baik berbanding orang lain serta adanya jarak yang luas sesama insan. Natijahnya ramai yang kekal dalam kejahilan.

Sebetulnya kita tidak dilahirkan untuk melakukan perbuatan buruk. Sebaliknya kelakuan buruk kita adalah dipelajari. Apa yang lebih teruk perlakuan buruk yang kita pelajari telah mendorong kita bertindak tanpa berfikir dan akhirnya menjadi suatu tabiat yang buruk. Bagi mengubah tabiat buruk itu tidak semudah dengan hanya katakan ‘tidak’. Kita kena letakkan sasaran yang jelas dan realistik. Jika tidak, kita boleh terjerumus dalam situasi self-destructive habits atau tabiat yang boleh memusnahkan diri.

Pada hari ini, fenomena memusnahkan diri sendiri tanpa sedar semakin kronik sekali. Sikap suka mengata, memfitnah dan menghina sudah menjadi permainan dalam gelanggang kehidupan. Bahasa yang begitu biadab sering digunakan untuk menterjemahkan emosi mereka. Malah, terdapat juga kelompok yang bangga dengan sikap biadab dan gelojoh mereka terhadap sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka. Akhirnya segala perbuatan buruk mereka sudah dirasakan indah dan tiada yang salah di sisi mereka walaupun amat keterlaluan buruknya pada sudut pandangan orang lain.

Pendek kata, dosa-dosa kerana lidah seakan-akan sudah tidak relevan lagi pada mereka kerana indahnya rasa mencerca orang lain. Berkaitan hal ini, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda; “Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia memanjangkan silaturahim. Dan sesiapa beriman kepada ALLAH dan hari akhir maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)

Sesungguhnya, isu berasa indah dengan segala perbuatan buruk telah pun diberikan peringatan oleh ALLAH menerusi firman-Nya; “Juga (ingatlah) kaum’Ad dan Samud, sesungguhnya telah nyata bagi kamu kehancuran daripada bekas-bekas tempat tinggal mereka. Syaitan telah menjadikan perbuatan buruk mereka dirasakan indah, sehingga menghalang mereka ke jalan ALLAH, sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.” (Surah Al-Ankabut 29:38)

Profesor psikologi kesihatan, Dr James Prochaska dari University of Rhode Island telah menggariskan tiga peringkat mengapa manusia sukar untuk meninggalkan perkara-perkara buruk yang ada dalam diri mereka.

Pada peringkat pertama, mereka sukar untuk berubah kerana masih belum berfikir untuk berubah dan rasa mustahil boleh berubah. Pada peringkat kedua pula, mereka masih berada dalam penyangkalan di mana berasa dirinya tiada masalah dan beranggapan masalah tersebut boleh berlalu dengan sendirinya.

Pada peringkat ketiga, mereka mula menyedari kesilapan pada diri dan mula berfikir untuk berubah, namun rasa tidak berdaya untuk berubah masih lagi kuat dalam diri mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada hemat saya, jika hendak berubah kita harus mula buat keputusan untuk berubah dan mencari jalan untuk berubah. Apa yang penting, kita berubah kerana diri kita sendiri yang mahu berubah dan bukan hanya menjadi ikutan semata-mata.

Pun begitu, setiap perubahan yang ingin dilakukan bukannya semudah yang disangka. Apatah lagi, jika kita masih lagi terbelenggu dalam kelompok yang masih berasa benar dan betul dengan setiap tindakan mereka walaupun buruk pada kaca mata majoriti masyarakat.

Berkaitan hal ini, menurut kata pujangga: “Hidup ini seumpama suatu peperiksaan yang sukar. Ramai yang telah gagal kerana meniru jawapan orang lain. Walhal, mereka tidak sedar bahawa setiap orang mempunyai soalan yang berbeza.”

Justeru, beranikan diri mencari kebenaran secara hakiki kerana bukan orang lain yang akan menjawab kepincangan diri sendiri pada hari pengadilan nanti. Berubahlah.