Hantu ‘kum-kum’ di Sg Kim Kim

A
A
A
SEHINGGA semalam pihak berkuasa masih gagal mengesan punca sebenar kes terbaharu pencemaran di Pasir Gudang, Johor yang melibatkan lebih 700 penduduk.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memberitahu Parlimen bahawa insiden Sungai Kim Kim berbeza daripada kes terbaharu ini.

“Dalam kes sekarang ini, lokasi kesnya adalah jauh. Ujian simulasi ke atas mangsa tidak dapat mengesan sumber pencemaran,” katanya.

Lebih dua minggu telah berlalu dan 700 orang kebanyakannya murid sekolah telah diberikan rawatan kerana masalah pernafasan dipercayai berpunca daripada kilang kimia di kawasan itu.

Itu pun menteri kata punca sebenar masalah masih tidak diketahui. Segala peralatan dan kecanggihan teknologi tidak dapat mengesan misteri.

Sekiranya teknologi gagal merungkai misteri pencemaran, apa kata kita gunakan khidmat dukun dan bomoh. Agaknya ada hantu di kawasan berkenaan!

SEMENTARA kes terbaharu masih misteri dengan pihak berkuasa macam hilang punca, pencemaran terdahulu yang terjadi di Sungai Kim Kim, masih belum betul-betul beres.

Seperti diketahui dalam kes awal tiga bulan dulu, 6,000 mangsa terdedah kepada pencemaran bahan buangan kimia yang ditumpahkan ke sungai.

Diketahui juga ada beratus kilang haram di kawasan terlibat yang sejak sekian lama melimpahkan kekotoran di sungai berkenaan.
Artikel Berkaitan:


Tetapi setakat hari ini hanya dua syarikat – termasuk satu daripada pemilik Singapura – yang diambil tindakan kerana didapati menjadi punca pencemaran Sungai Kim Kim.

Apakah benar kilang-kilang haram lain tidak terlibat dalam pencemaran itu? Atau, apakah kilang-kilang haram itu menggunakan khidmat hantu dan pelesit untuk melindungi mereka daripada tindakan undang-undang?

Pernah satu ketika dulu tempat kita dihebohkan oleh apa yang dipanggil hantu ‘kum-kum’ yang mengganggu dan menakutkan orang ramai.

Agaknya hantu ‘kum-kum’ itu kini berpindah dan bermukim di Sungai Kim Kim.

SEORANG bapa terpaksa berhenti kerja sebagai jurutera untuk memberi tumpuan terhadap anak lelakinya yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Anaknya yang berusia 12 tahun itu telah disahkan menghidap sejenis penyakit berpunca daripada udara beracun gara-gara pencemaran di Pasir Gudang.

Bapa berkenaan berhenti kerja untuk sentiasa berada di sisi anaknya sementara isterinya terus di Johor Bahru menjaga anak-anak yang lain.

Sudahlah berhenti kerja yang bererti terputus pendapatan bulanan, dia terpaksa pula mengeluarkan RM ribu-ribu untuk kos rawatan anaknya. Bayangkan betapa susah dan malangnya!

Sedangkan pihak berkuasa dan agensi-agensi berkenaan tidak habis-habis bermesyuarat, saling menuding jari, tetapi masalah pencemaran masih tidak selesai.

Mangsa dan beratus keluarga terus menderita, hantu ‘kum-kum’terus mengotorkan alam. Siapa yang sepatutnya lebih kita bela dan utamakan: hantu atau manusia? AKHIR kalam, masih mengenai hantu.

Kerajaan Negeri Sembilan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri akan menjalankan ‘Op Kimia’ terhadap kilang-kilang sedia ada di negeri itu dalam masa terdekat bagi memastikan mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, operasi itu akan lebih tertumpu di kilang yang menghasilkan dan menggunakan bahan kimia.

“Langkah ini diambil bagi mengelak insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor daripada berlaku di negeri ini,” kata beliau seperti dipetik media.

Pihaknya sudah mengenal pasti 81 premis di seluruh negeri ini yang berdaftar di bawah JAS. Tetapi mungkin ada premis yang tidak berdaftar dengan JAS.

“Jadi kita akan menyemak semula dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti kilang-kilang yang tidak berdaftar itu.”

Baik yang berdaftar atau yang tidak berdaftar @ haram, mesti semua dipastikan mengikut SOP, sebab telah terbukti hantu ‘kum-kum’ selalu kebal dan boleh hidup di premis berdaftar, lebih-lebih lagi di premis haram.