X

Kindly register in order to view this article
!

Pergi selepas enam hari bertunang

Anthony (tengah) menyampaikan cek kepada Abdul Rahman dan Zainab di kediaman mereka di Kampung Tanjung Tualang semalam.
A
A

BATU GAJAH - Sepasang suami isteri sebak apabila dimaklumkan menerima pencen bulanan daripada anak mereka Muhammad Khairil Azrin Abdul Rahman yang meninggal dunia dalam kemalangan 12 Jun lalu.

Lebih menyedihkan anak bongsu daripada enam beradik itu baru sahaja enam hari bertunang sebelum terlibat dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Tanjung Tualang - Malim Nawar.

Abdul Rahman Idris, 70, dan isteri Zainab Yeop, 61, menitiskan air mata kerana anak bongsu yang turut menyara mereka ketika hayatnya tetap menjalankan tanggungjawab walaupun sudah meninggal dunia dengan meninggalkan pencen bulanan untuk perbelanjaan kedua orang tuanya.

Zainab berkata, arwah anaknya yang tinggal bersama di Batu 7, Kampung Tanjung Tualang ialah seorang yang bertanggungjawab dan membantu menyara dirinya dan suami.

"Apa yang membuatkan mak cik sedih ialah arwah baru sahaja terima wang pampasan dari Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) akibat kemalangan dua tahun lalu yang mengakibatkan dia patah kaki kanan serta tangan.

"Duit itu dia cakap nak guna untuk perbelanjaan perkahwinannya 30 November ini selepas bertunang 7 Jun lepas dengan gadis pilihannya yang tinggal di Malim Nawar," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Perkeso Perak di kediamannya di Tanjung Tualang di sini hari ini.

Menurutnya, dia menerima panggilan polis memaklumkan anaknya kemalangan sebelum bergegas ke Hospital Batu Gajah namun setibanya dia bersama ahli keluarga di hospital itu mereka dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia.

"Mak cik masih terbayang keadaan di bilik mayat apabila tunang arwah pengsan melihat jenazahnya begitu juga ketika di tanah perkuburan, luluh hati mak cik masa itu hanya ALLAH yang tahu.

"Lebih sedih bila walaupun dia sudah pergi dahulu dari mak cik dia masih jalankan tanggungjawab dengan tinggalkan pencen untuk menyara kami orang tuanya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Perak, Anthony Arul Dass berkata, pihak Perkeso mendapat maklumat berkenaan kemalangan menimpa Khairil Azin melalui berita yang disiarkan Sinar Harian sehari selepas kemalangan dan mengarahkan Skuad Prihatin Perkeso menjalankan siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyelia kilang maut motor ditunggang hilang kawalan

"Hasil semakan dijalankan mendapati arwah ialah pencarum Perkeso dan ibu bapanya layak menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 serta pencen bulanan berjumlah RM270.

"Kami Perkeso Perak mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan semoga dengan bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban mereka," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!