SPRM bukan ‘punching bag' pemain politik

Latheefa
Latheefa
A
A
A

PUTRAJAYA - Skop tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu lebih diperjelaskan bagi mengelak sesetengah pemain politik menjadikan agensi tersebut sebagai ‘punching bag’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, baginya selama ini, SPRM disebut sebagai satu agensi yang menerima aduan berkaitan rasuah, namun pada masa sama, ia juga dijadikan ‘punching bag’ oleh pemain politik.

“SPRM juga bukan hanya menjadi medan politik. Sikit-sikit ada kesalahan, buat aduan di SPRM. Bagi saya ini masa mendidik semula apa tugas sebenar SPRM, bukan sekadar tangkap dan tuduh tetapi ada tugas berat yang dijalankan termaktub dalam Akta SPRM iaitu untuk pencegahan dan pendidikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lantikan politik tak jejas tugas di SPRM - Latheefa Koya

“Jadi saya akan lakukan untuk menjelaskan semula jenis-jenis rasuah dan salah laku dilakukan yang perlu dielakkan. Jika tidak ini (tindakan) akan diambil ke atas kamu (jika melakukan rasuah). Perkara tersebut saya rasa boleh ditambah baik,” katanya ketika ditanya mengenai perancangan akan dilakukan di dalam SPRM pada sesi Temubual Khas@MACCfm semalam.

Latheefa juga akui bahawa masih ramai yang tidak sedar tugas sebenar SPRM, justeru beliau akan memainkan peranan lebih mempromosikan skop tanggungjawab agensi itu kepada umum.

“Saya akan beritahu perkara asas, seperti bagaimana nak buat aduan berkaitan rasuah dan memastikan aduan dibuat lengkap atau saya akan aturkan supaya pegawai SPRM dapat memberi taklimat kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain agar elak diri daripada terjerat dalam isu rasuah atau ditangkap.

“Itu perkara saya boleh lakukan kerana hanya setelah masuk ke SPRM, banyak kerja-kerja baik dilakukan SPRM tidak cukup diuar-uarkan,” katanya.

Mengulas mengenai keberanian SPRM dalam menangkap pesalah rasuah sama ada yang kecil dan yang besar, Latheefa berkata, SPRM mempunyai kemampuan untuk mengesan dan membuat tangkapan bagi kesalahan rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa terlalu banyak operasi dilakukan dan apa dilihat SPRM mampu untuk mengesan dan membuat tangkapan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Latheefa, apa yang boleh diperbaiki oleh agensi tersebut adalah memastikan setiap aduan diterima tulen, bukan semata-mata dilakukan kerana dendam atau mengaibkan sesi.

“Proses terima aduan adalah permulaan operasi bagi memperlihatkan proses yang dilakukan secara efektif. Bukan hanya terima aduan yang tiada asas,” katanya.