Ramasamy, fikir dulu sebelum keluar kenyataan

Muhammad Aziim Mustafa
Muhammad Aziim Mustafa
A
A
A

SEREMBAN - Armada Negeri Sembilan meminta Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy supaya berfikir dan menyelidik terlebih dahulu sebelum keluarkan kenyataan.

Ketuanya, Muhammad Aziim Mustafa berkata, kenyataan pemimpin itu yang mendesak Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya diambil tindakan kerana kononnya menganggu gugat tugas Perdana Menteri adalah tidak berasas.

"Penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bertujuan menyuarakan pendirian Armada terhadap kegagalan P Waytha Moorthy melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Perpaduan.

"Apa yang disampaikan juga sebagai mewakili suara rakyat dan kami tidak mahu hanya berdiam diri.Tapi, kita akur apa jua keputusan diambil Perdana Menteri, "katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Media sebelum ini melaporkan Ramasamy mendesak Tun Mahathir mengambil tindakan terhadap Syed Saddiq atas alasan Armada ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri apabila mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan.

Muhammad Aziim berkata, Ketua Dapsy pernah melakukan tindakan yang lebih serius dengan mempertikai dan mengecam keputusan Perdana Menteri secara terbuka berkenaan senarai Kabinet.

"Exco Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin juga pernah mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan.

“Adakah tindakan juga perlu di ambil ke atas mereka atau Ramasamy tutup mata dan mengamalkan kronisme dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu tegasnya, Armada masih berpegang teguh kepada pendirian ‘berani kerana benar’ yang diterapkan dalam jiwa perjuangan ahli.

“Jangan sesekali kita lupa kesepakatan yang telah terjalin dalam satu pasukan PH sehingga membuatkan kita takut kepada kebenaran,” katanya.