Dua pengedar dadah berjaya ditahan

Mohd Marzukhi
Mohd Marzukhi
A
A
A

TELUK INTAN - Dua pengedar antara tujuh individu ditahan pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dalam dua serbuan berasingan membabitkan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kesemua lelaki yang ditahan berusia antara 26 hingga 38 tahun dalam operasi yang bermula jam 8 hingga 5 petang di sekitar Hutan Melintang, Rungkup dan Bagan Datuk.

"Dalam satu serbuan di sebuah rumah di Hutan Melintang pada jam 2.30 petang pihak polis berjaya menahan seorang lelaki dan menemui 18 paket plastik lutsinar dipercayai methaphatemine dengan anggaran berat 83.12g di atas meja di bilik premis berkenaan.

"Polis turut menemui sebungkus plastik lutsinar yang mengandungi paket plastik kosong dan alat penimbang elektronik di atas meja berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Mohd Marzukhi, susulan itu satu pemeriksaan lanjut di bahagian belakang rumah berkenaan dijalankan dan berjaya menahan seorang lagi lelaki.

"Pemeriksaan lanjut di sekeliling luar rumah berkenaan menemui satu kotak aluminium di bawah pokok yang berisi 27 paket plastik lustinar berisi bahan disyaki heroin dengan anggaran berat 666.43g.

"Semakan turut mendapati lelaki ini mempunyai satu rekod kesalahan lampau dan polis percaya dadah yang dirampas itu untuk tujuan aktiviti pengedaran," katanya.

Menurut Mohd Marzukhi, hasil daripada operasi berkenaan pihaknya berjaya merampas sejumlah dadah jenis heroin seberat 673.72g, methaphatemine seberat 90.80g dan 1.25g dadah jenis kanabis yang dianggarkan bernilai RM33,861.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kedua-dua lelaki berusia 26 dan 37 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 manakala lima yang lain iaitu masing-masing seorang mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan tiga lagi Seksyen 12(2) ADB 1952.