Penerbangan Singapura-Tioman akan dibuka

Mohd Sharkar (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Matta Fair Chapter Pahang di Kuantan City Mall di sini hari ini.
Mohd Sharkar (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Matta Fair Chapter Pahang di Kuantan City Mall di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Berita baik buat pelancong Singapura yang ingin berkunjung ke Pahang kerana selepas ini penerbangan terus dari pulau singa ke Pulau Tioman akan dibuka.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kerajaan menerima permohonan SKS Airways yang dijadualkan bermula September ini untuk membuka laluan penerbangan dari Singapura, Subang dan KLIA ke Pulau Tioman.

Menurutnya, di samping itu kapal terbang kecil yang boleh menampung sehingga 20 penumpang itu turut dicadangkan beroperasi ke Taman Negara.

"Cadangan mereka untuk membuka laluan pada bulan September ini. Penerbangan dijangka mengambil masa sehingga 30 minit mengikut jadual.

"Mengikut rekod, Singapura menyumbang pelancong terbanyak ke negeri Pahang tahun lalu iaitu 300,000 orang dengan jumlah perbelanjaan mereka di sini sebanyak RM1.4 juta. Jumlah itu belum masuk homestay atau rumah inap yang tidak berdaftar. Jika termasuk, mungkin lebih lagi.

"Diharapkan degan adanya airline tersebut akan menambah bilangan pelancongan. Meskipun tidak banyak tetapi ia aksesibiliti," katanya pada sidang media Matta Fair Pahang anjuran Tourism Pahang di Kuantan City Mall di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Matta Pahang Chapter, Burhanuddin Ghazali; Pengurus Kanan Promosi Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Cawangan Wilayah Timur, Mohd Faizul Zakaria.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar menyeru pengusaha persendirian rumah tamu untuk mendaftar dengan pihak Majlis Daerah masing-masing mengenai perkhidmatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini bertujuan untuk mengenal pasti jumlah sebenar kedatangan pelancong ke negeri ini, sekali gus memudahkan perancangan pemasaran masa depan dalam industri tersebut.

Sementara itu, sempena sambutan 100 Tahun Bukit Fraser akan diadakan program Fun Run/Fun Walk 2019 yang akan disertai 500 peserta pada 21 Julai nanti di Bukit Fraser.

Mohd Sharkar berkata, bagi kategori Fun Walk paserta akan berjalan sejauh 2.5 kilometer dengan yuran RM40 untuk baju t dan medal, manakala Fun Run sejauh 10 kilometer dengan yuran RM50 seorang.

"Para peserta juga boleh menempah harga hotel istimewa menerusi penganjur di www.abceventz.my.

"Program ini turut mendapat kerjasama Tourism Pahang, Tourism Malaysia, Majlis Daerah Raub, Majlis Perbandaran Bentong dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang," katanya.