X

Kindly register in order to view this article
!

Taska untuk anak-anak pengamal media

Nicole (tengah) ketika menerima kunjungan ahli jawatankuasa Manis di pejabatnya hari ini.
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri bersedia menyediakan kemudahan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) 24 jam kepada pengamal media di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada permintaan dan mengikut keperluan.

Menurutnya, menjadi sebahagian daripada manifesto PH untuk menyediakan kemudahan taska di setiap premis kerajaan dan swasta yang terpilih dalam usaha kerajaan mewujudkan kehidupan yang seimbang dalam masyarakat.

“Bagi pengamal media, kita sedia maklum waktu kerja mereka tidak menentu dan mungkin ada yang sukar dapatkan perkhidmatan pengasuh selepas jam 6 petang.

"Kalau ada permintaan untuk perkhidmatan ini, kita akan cuba bantu,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada Kelab Media Negeri Sembilan (Manis) di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, selain penjawat awam di Wisma Negeri, kemudahan itu akan disediakan di empat buah hospital kerajaan selepas mendapat permintaan dan dijangka mula beroperasi tahun ini.

Beliau berkata, hospital berkenaan ialah Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Hospital Port Dickson dan Hospital Jempol.

“Projek rintis kemudahan taska di tempat kerja bermula dengan kakitangan Wisma Negeri yang beroperasi di Masjid Negeri khususnya. Setakat ini ia dapat maklum balas positif.

“Kemudahan ini hanya dapat disediakan jika ada permintaan. Setiap jabatan dan agensi kerajaan disediakan peruntukkan RM200,000 setahun untuk menyediakannya,” katanya.

Selain itu katanya, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan sehingga 28 Jun lalu, terdapat 147 taska yang berdaftar.

“Jumlah berkenaan ialah (115) taska institusi, (26) taska rumah, (5) taska tempat kerja dan (1) taska komuniti.

“Penting untuk ibu bapa menghantar anak-anak ke taska atau pusat jagaan yang berdaftar bagi mengelak kejadian tidak diingini selain membantu JKM jalankan pemantauan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus