Raja Permaisuri Agong berangkat ke program Lembaran Emas: Songket dan Keringkam Sarawak

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melambaikan tangan kepada hadirin sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini. Foto: Bernama
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melambaikan tangan kepada hadirin sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMASKINI] Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke program Lembaran Emas: Songket dan Keringkam Sarawak yang berlangsung di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, malam ini.

Baginda diiringi isteri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, merangkap Penaung Projek Inovasi dan Songket Keringkam Sarawak.

Baginda meluangkan masa kira-kira 30 minit menyaksikan pameran yang terdapat di bangunan DUN itu yang memaparkan kesenian songket dan keringkam.

Semasa menyaksikan pameran itu, Raja Permaisuri Agong sempat beramah-mesra bersama pempamer dan turut mengeluarkan hasil sulaman peribadi milik baginda untuk dipertontonkan kepada pempamer berkenaan.

Terdahulu, sebaik tiba, baginda berkenan menerima cendera kenangan daripada Juma’ani, sehelai selendang sulaman keringkam berwarna ungu muda.

Di Sarawak keringkam atau ‘selendang keringkam’ bagi yang bersegi empat panjang dan ‘selayah’ untuk yang bersaiz pendek, biasanya dipakai oleh kaum hawa untuk menutup kepala semasa menghadiri majlis rasmi seperti pertunangan dan perkahwinan.

Majlis Lembaran Emas berkenaan dilihat sebagai platform untuk memartabatkan industri songket dan keringkam tanah air ke persada antarabangsa.

Seterusnya, baginda berkenan menghadiri pertunjukan fesyen yang mempamerkan keunikan produk berasaskan songket dan keringkam Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Pertunjukkan fesyen itu menampilkan Raja Fesyen Malaysia iaitu Datuk Seri Bernard Chandran dan Ratu Fesyen Borneo, Datuk Tom Abang Saufi serta pengeluar songket terkemuka Sarawak - Tanoti House.

Raja Permaisuri Agong dijadual berangkat pulang selepas selesai majlis berkenaan dan akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kiral 11 malam ini. - Bernama