Mestecc sasar kejayaan terbesar di Ekspo 2020 Dubai

Tunku Zain (empat dari kanan) bersama Bee Yin (lima dari kanan) pada pelancaran kempen #MyButterflyEffect di Putrajaya di sini hari ini.
Tunku Zain (empat dari kanan) bersama Bee Yin (lima dari kanan) pada pelancaran kempen #MyButterflyEffect di Putrajaya di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah meluluskan insentif cukai dan geran untuk menggalakkan syarikat yang mempunyai potensi untuk mengambil bahagian dan menyumbang dalam Expo 2020 Dubai yang akan datang.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan insentif cukai untuk sumbangan tunai atau penajaan penyertaan Malaysia dalam ekspo tersebut.

"Individu dan syarikat akan layak menerima potongan cukai sebanyak tujuh peratus dan 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Seksyen 44 (11C) (a)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967, mulai 1 Julai tahun ini hingga 10 April, 2021," katanya pada pelancaran kempen jenama #MyButterflyEffect untuk Pavilion Malaysia di ekspo tersebut di sini hari ini.

Menurut Bee Yin lagi, bertemakan "Connecting Minds, Creating the Future", Ekspo 2020 Dubai sebagai usaha membina perkongsian dan mewujudkan idea-idea yang akan mencorak dunia pada masa hadapan dengan penyertaan 192 negara.

"Pavilion Malaysia akan memberi tumpuan kepada kelestarian dan mensasarkan potensi nilai perdagangan dana pelaburan bernilai RM10 bilion dengan 1,000 peluang perniagaan dan 20 perjanjian perkongsian.

"Manakala Pengerusi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz pula dilantik sebagai Duta #MyButterflyEffect bersama-sama ikon media sosial," katanya.

Bee Yin berkata, bagi menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat di Malaysia menyertai Pavilion Malaysia, Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (Matrade) melalui Geran Pembangunan Pasaran akan menawarkan geran bernilai RM200,000 kepada pemohon yang berjaya termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesatuan sekerja dan penyedia perkhidmatan profesional yang terlibat dalam aktiviti mempromosikan eksport antarabangsa.

Jelasnya, melalui dua insentif itu, membantu Mestecc mendapatkan prospek dalam perkongsian dan penajaan di samping bekerjasama dengan pelbagai organisasi yang terlibat dalam industri teknologi dan inovasi berkaitan solusi kelestarian.

Artikel Berkaitan:

"Ekspo 2020 Dubai yang akan berlangsung bermula 20 Oktober 2020 hingga 10 April 2021 di Dubai Exhibition Centre di Emiriah Arab Bersatu itu turut mensasarkan seramai 1 juta pelawat ke Pavilion Malaysia.

"Pada masa sama sekurang-kurangnya 20 delegasi daripada negara lain dan lebih 5,000 peserta menghadiri program-program tersebut," katanya.

Pelancaran #MyButterflyEffect itu bertujuan menyampaikan keyakinan Malaysia mengenai pentingnya meningkatkan kelestarian selain membantu pihaknya menempa kejayaan besar di Dubai.