MPN kesan 429 iklan haram

Teo Kok Seong menunjukkan antara papan iklan haram yang dirobohkan pada sidang media hari ini.
Teo Kok Seong menunjukkan antara papan iklan haram yang dirobohkan pada sidang media hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 429 papan iklan luar haram dikesan dibina sepanjang tepi Lebuhraya Plus arah Selatan, dalam jajaran Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 456 kompaun telah dikeluarkan oleh MPN, melalui penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak 1 April lalu.

Katanya, sebanyak sembilan papan iklan haram telah dirobohkan, dan 13 lagi akan dirobohkan pada 10 dan 11 Julai ini, kerana tidak mempunyai lesen pengiklanan yang dibenarkan oleh pihak majlis.

“Sebanyak 224 paparan iklan luar telah dikenal pasti sehingga 15 Mei lalu dan daripada jumlah itu sebanyak 456 kompoun telah dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM 171,750.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah mempamerkan iklan tanpa lesen dibawah UUK 6 (1), Undang-Undang Kecil Iklan, Majlis Perbandaran Nilai dan mendirikan binaan tanpa kebenaran majlis, dibawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974.

“Jika didapati bersalah boleh dikenakan nilai kompaun antara RM250 sehingga RM500,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Negeri dekat sini semalam.

Tambahnya, pihak MPN juga telah mengeluarkan Notis Roboh sebanyak 235 notis bagi papan iklan luar haram di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak pemilik Paparan Iklan Luar (billboard) perlu mengemukakan permohonan dan mendapatkan kelulusan bagi Binaan Paparan Iklan di Unit Pusat Sehenti (OSC) MPN sebelum permohonan lesen iklan.

Pemilik-pemilik tanah juga diingatkan agar berhati-hati untuk menyewakan tanah mereka kepada syarikat pengiklan agar tidak melanggar syarat nyata tanah.

“Jika didapati pemilik tanah bersubahat, mereka juga boleh dikenakan tindakan termasuk denda,” katanya.