Mat Sabu ziarah Pondok Lanai

Mohamad (dua dari kanan) sempat menziarahi dan bertanya khabar rakan lama di Pondok Lanai sempena lawatan kerja beliau di Kedah, kelmarin.
Mohamad (dua dari kanan) sempat menziarahi dan bertanya khabar rakan lama di Pondok Lanai sempena lawatan kerja beliau di Kedah, kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Lawatan kerja Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ke Kedah, kelmarin memberi peluang kepada beliau menziarahi rakan-rakan lama di Madrasah Misbahul Falah atau lebih dikenali Pondok Lanai.

Menurut beliau, lawatan kali ini cukup memberi kesan, lebih-lebih lagi apabila terkenangkan rakan-rakan lama yang terkorban dalam peristiwa Memali selain insiden dikepung polis ketika mengadakan ceramah Bersih di Markas Pas Kupang.

“Hampir 40 tahun di dalam parti lama, Baling dan kawasan sekitarnya merupakan kawasan yang sering saya hadir dalam siri kempen parti politik mahupun ziarah.

“Pondok Lanai menjadi lokasi penting para alim ulamak diketuai Omar Zuhdi sebagai tuan rumah selain beberapa orang guru pondok seluruh Kedah berhimpun bagi membuat keputusan kematian Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya yang mati ditembak di Kampung Memali sebagai syahid.

“Berdekatan madrasah ini juga terletaknya perkuburan 13 syuhada peristiwa Memali dan pelbagai peristiwa lain yang kami lalui di daerah ini,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Amanah memberitahu, keperitan beliau dan rakan-rakan Pas ketika itu membina markas yang turut menjadi pusat tarbiah kepada rakyat akan dikenang hingga akhir hayat.

Mohamad (enam dari kanan) menunaikan solat berjemaah di Pondok Lanai sempena lawatan kerja beliau di Kedah, kelmarin.
Mohamad (enam dari kanan) menunaikan solat berjemaah di Pondok Lanai sempena lawatan kerja beliau di Kedah, kelmarin.

“Masih tersergam markas-markas Pas yang dibina sejak puluhan tahun lalu ketika menyelusuri jalan-jalan daripada Pendang, Sungai Tiang, Jeneri, Sik, Parit Panjang dan Baling.

Artikel Berkaitan:

“Berpuluh-puluh tahun rakan-rakan pemimpin termasuk saya sendiri dibawa berceramah bagi memungut derma selain sumbangan orang ramai untuk membina markas-markas tersebut yang menjadi pusat tarbiah kepada rakyat.

“Alhamdulillah, walaupun kami tidak lagi bersama dengan parti tersebut, kami reda markas-markas ini terus dihidupkan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Raja meluahkan rasa kecewa serta sedih apabila markas berkenaan kini terpaksa ‘berkongsi’ dengan UMNO.

“Sebulan dua ini agak sedih bila ianya digunakan bersama UMNO yang kami lawan dahulu.

“Semoga dengan rasminya terbentuk gabungan Pas dan UMNO minggu lalu, menyedarkan ramai pihak yang tidak mempercayainya sebelum ini, sekali gus melahirkan gelombang baru perjuangan rakyat di daerah istimewa ini,” katanya.