Pesanan buat jemaah haji Malaysia

Mujahid - Foto fail Bernama
Mujahid - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jemaah haji negara ini dinasihatkan supaya menjaga kesihatan diri, keselamatan, kebersihan persekitaran dan imej negara ketika mengerjakan Rukun Islam kelima itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, ibadah haji memerlukan jemaah mempunyai kesihatan yang sempurna justeru adalah penting bagi jemaah menjaga kesihatan sepanjang mereka berada di Makkah dan Madinah.

"Bersama dalam rombongan juga bagi memastikan kesihatan jemaah kita menyediakan doktor-doktor bertugas dan juga klinik serta hospital telah disediakan. Saya ingin mengingati juga bahawa di Makkah dan Madinah menjadi tumpuan orang ramai kita perlu menjaga keselamatan.

"Alhamdulillah Kerajaan Arab Saudi telah memberi jaminan setiap tahun para jemaah dalam keadaan yang selamat," katanya menerusi rakaman video untuk jemaah haji tahun ini yang dikongsikan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini.

Katanya dalam masa yang sama juga jemaah haji hendaklah mengikuti peraturan ditetapkan Kerajaan Arab Saudi dan mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari ketika berada di Kota Suci itu nanti.

Mujahid berkata, kebersihan adalah penting dan jemaah haji negara ini dituntut supaya menjaga kebersihan persekitaran mereka.

"Kekalkan imej negara kita ada selama ini bahawa jemaah haji Malaysia adalah yang paling berdisiplin dan paling bersih menjaga tempat semasa Masyair. Tahniah kepada semua jemaah haji dan semoga semuanya berjalan lancar," katanya.

Sejumlah 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini dibantu oleh 640 petugas daripada TH. - Bernama

Artikel Berkaitan: