Lantikan politik tak jejas tugas di SPRM - Latheefa Koya

Latheefa ketika menjadi tetamu khas di Temubual Khas@MACCfm hari ini.
Latheefa ketika menjadi tetamu khas di Temubual Khas@MACCfm hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertikaian mengenai status Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikatakan atas dasar lantikan politik tidak menjadi penghalang kepada wanita itu untuk menjalankan tugasnya.

Menurut Latheefa, sebaik mengetahui dirinya bakal dilantik untuk menerajui badan berkanun itu, beliau secara rasmi berhenti terlibat dalam bidang politik.

“Pandangan bahawa saya sebagai salah seorang ahli politik, ia fakta yang saya akui, tetapi dari segi konteks perlu diambil faham kerana lebih setahun saya telah terlibat dengan memperjuangkan hak asasi.

“Sejak itu saya tidak ambil bahagian dengan kempen atau pilihan raya umum (PRU) walaupun saya menjadi ahli parti selama 15 tahun dan tidak aktif sebagai ahli politik.

“Jadi, bila dapat tahu pelantikan ini, saya ambil langkah berhenti secara rasmi. Maka isu ini tidak akan gugat saya untuk menjalankan tugas,” katanya pada sesi Temubual khas di Slot Khas@MACCfm hari ini.

Dalam pada itu, Latheefa berkata, beliau sudah menjangkakan reaksi positif dan negatif daripada orang ramai terhadap dirinya sebaik bersetuju menerima pelantikan tersebut.

“Ia kejutan pada saya juga, sama ada saya sanggup menerima tawaran menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM. Ia bukan mudah. Akhirnya saya tiada pilihan bersetuju untuk ambil tanggungjawab diberikan,” katanya.

Pada 4 Jun lalu bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Latheefa tertakluk kepada tempoh kontrak selama dua tahun dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.