Nyaris dibaham sawa 'gergasi'

Suziena (empat dari kanan) bersama rakan setugasnya memegang ular sawa seberat 100kg yang berjaya ditangkap
Suziena (empat dari kanan) bersama rakan setugasnya memegang ular sawa seberat 100kg yang berjaya ditangkap
A
A
A

HULU BESUT - Seorang pemuda bernasib baik kerana tidak sempat menjadi mangsa belitan dan dibaham ular sawa ‘gergasi’ setelah dia sempat menyedari kelibat reptilia tersebut di kebun durian dekat Kampung Gong Duek di sini,

Lelaki tersebut, Tengku Faris Ikmal Tengku Mat,18, terserempak dengan ular tersebut dalam semak di kebun tersebut pada jam 7 malam kelmarin.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut, Mohd Suhaimi Awang berkata, pada awalnya mangsa menyangka ular tersebut bersaiz kecil lalu memanggil rakan sekampungnya untuk menangkap ular tersebut.

Menurutnya, namun sebaik rakannya tiba, mereka dapati ular tersebut bersaiz amat besar dan panjang.

“Lantas mereka menghubungi kami dan meminta bantuan supaya menangkap ular besar tersebut,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, tiga anggota terdiri daripada seorang anggota lelaki, Mohd Faizah Dollah dan dua anggota wanita iaitu Suziena Zainal Abidin dan Siti Aisyah Awang Salam dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketiga-tiga anggota tersebut termasuk anggota wanita itu berani dan berpengalaman menangkap pelbagai jenis ular berbisa dan besar sebelum ini.

“Ular tersebut cuba melarikan diri apabila mendapati orang ramai berada di kawasan tersebut namun Suzienal Abidin dan Siti Aisyah bertindak memegang dan menarik ekor.

Artikel Berkaitan:

“Usaha menangkap kepala ular oleh Mohd Faizal memakan sedikit masa kerana ular yang mempunyai ratusan gigi tajam itu bertindak agak agresif dengan mahu mengigit petugas terbabit,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, selepas 30 minit bertarung, akhirnya anggota APM dibantu penduduk kampung berjaya menangkap ular seberat kira-kira 100kg itu sebelum di bawa pulang ke pejabat APM di Jertih.

Menurutnya, ular sawa tersebut adalah yang terbesar dalam spesies itu ditangkap oleh APM sejak awal Januari sehingga Julai tahun ini.

“Dua anggota wanita itu berpengalaman selama sepuluh hingga lima tahun dalam operasi menangkap ular di daerah malah mereka mempunyai keberanian seperti anggota lelaki.

“Bagaimana bagi kes ular besar seperti ular sawa dan tedung selar, mereka berdua hanya bertindak sebagai pembantu kerana tugas menangkap ular seperti ini memerlukan tenaga yang kuat,” katanya.