Arah pantau tulisan pensyarah UKM tidak demokratik

Nasrudin
Nasrudin
A
A
A

SHAH ALAM – Pas mengkritik tindakan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin yang ‘mengarahkan’ pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Pendidikan untuk memantau penulisan ahli akademik universiti terbabit, Abdul Muein Abadi.

Ini berikutan dakwaan beliau ke atas Abdul Muein yang kononnya ‘menabur fitnah’ dengan mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila mendedahkan kepincangan urus tadbir kerajaan hari ini menerusi artikelnya yang bertajuk ‘400 hari Pakatan jual lebih RM20 bilion aset negara’.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, sikap dan pendekatan diambil pengamal media veteran itu bukan sahaja tidak demokratik tetapi mundur serta tidak bertamadun.

“Sebaliknya pandangan itu hendaklah dinilai dan dikaji setiap penghujahannya demi kebaikan rakyat dan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Jangan runtuhkan gunung kita'

“Kerana saya percaya, gerakan perubahan yang dilaungkan selama ini, termasuklah oleh PH sendiri adalah bermaksud untuk mewujudkan satu suasana di mana ahli-ahli akademik khasnya boleh memberi pandangan berasaskan fakta dan hujah yang baik demi kebaikan negara.

“Kecualilah segala slogan perubahan, transformasi, reform dan sebagainya itu hanyalah sekadar satu sandiwara politik untuk mempersenda mentaliti rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, Kadir tidak sepatutnya menghalang seorang ahli akademik melontarkan pandangan dan kritikan berfakta walaupun terhadap kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Ujar Nasrudin lagi, sikap sedemikian tidak akan menjadikan kerajaan PH hari ini lebih baik dari yang sebelum, malah lebih parah dan punah.

“Ekoran kenyataan Kadir itu juga, terdapat pihak yang sudah mula memberi tekanan kepada Abdul Muein. Tentunya ia bukan satu budaya yang murni bagi menyuburkan peradaban negara.

“Selayaknya kerajaan PH dinasihati oleh orang seperti A. Kadir Jasin supaya segera menjawab secara tuntas dengan mengemukakan hujah dan fakta balas terhadap tulisan Abdul Muein Abadi,” katanya.

Katanya, kerajaan PH perlu bertanggungjawab sekiranya tulisan pensyarah itu benar.

“...atau rakyat membetulkan pilihan mereka pada pilihan raya akan datang dengan membina masa depan negara bersama kerajaan baharu yang meletakkan Islam dan kebertanggungjawaban tinggi terhadap rakyat serta negara,” katanya.