Patahkan taktik cubaan seludup PATI guna teksi

Suspek yang ditahan PGA di Jalan Besar Tumbok Pantai Tanjung Sepat, Kuala Langat, kelmarin.
Suspek yang ditahan PGA di Jalan Besar Tumbok Pantai Tanjung Sepat, Kuala Langat, kelmarin.
A
A
A

KUALA LANGAT - Taktik menyeludup sepasang suami isteri warga Indonesia menggunakan teksi di Jalan Besar Tumbok Pantai Tanjong Sepat, kelmarin, berjaya dihidu pihak berkuasa.

Cubaan pemandu teksi warga tempatan berusia 57 tahun itu dikesan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melihat sebuah teksi dalam keadaan mencurigakan di kawasan berdekatan belukar.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 4.15 pagi selepas anggota PGA itu melihat sebuah teksi jenis Proton Waja berhenti dalam masa agak lama sebelum dinaiki dua warga asing terbabit.

"Anggota PGA kemudian menahan teksi itu untuk pemeriksaan lanjut.

"Semakan mendapati kedua-dua warga asing yang juga merupakan pasangan suami isteri itu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebuah teksi yang ditahan pihak PGA kerana disyaki cuba membawa dua PATI warga Indonesia di Tanjung Sepat, Kuala Langat, kelmarin. (Gambar kecil, Suspek yang ditahan PGA di Jalan Besar Tumbok Pantai Tanjung Sepat, Kuala Langat, kelmarin.)

Azizan berkata, siasatan lanjut mendapati dua PATI itu mengaku baharu memasuki negara melalui laluan tidak diwartakan sehari sebelum dicekup pihak PGA.

Katanya, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati, ini adalah kali pertama pemandu teksi itu ditahan selepas disyaki terlibat cuba membawa PATI. Dipercayai dia menerima upah kira-kira RM70," katanya.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Pengeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.