JAS lulus PSR dengan 72 syarat

Kon Yeow menunjukkan surat kelulusan daripada JAS di samping Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo hari ini.
A
A

BAYAN BARU - Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan menerima surat kelulusan untuk melaksanakan tambakan perairan selatan Pulau Pinang (PSR) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) petang semalam.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, menerusi surat diterima melalui faksimili kira-kira jam 2.30 petang itu, JAS memberi kelulusan dengan 72 syarat yang perlu dipenuhi sebelum projek tambakan tersebut dijalankan.

"Saya mengesahkan bahawa kerajaan negeri menerima surat kelulusan daripada JAS berhubung pelaksanaan projek PSR semalam.

"Kita akan meneliti dan mengkaji kesemua syarat yang diberikan JAS. Kita akan membincangkan syarat yang diberikan dengan agensi dan jabatan terlibat," katanya pada sidang media di Taiwan Ekspo 2019 di sini hari ini.

Projek PSR melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah dan ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

Projek mega bernilai berbilion ringgit itu merangkumi LRT, monorel dan tiga buah lebuhraya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia