X

Kindly register in order to view this article
!

Angkasa sasar jualan koperasi sekolah RM1 bilion pada 2025

Abdul Fattah Abdullah
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan jualan sebanyak RM1 bilion oleh lebih 2,400 koperasi sekolah di negara ini menjelang 2025.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, nilai jualan daripada keseluruhan koperasi sekolah seluruh negara kini sebanyak RM400 juta.

"Sasaran ini dijangka dapat dicapai menerusi pelbagai perancangan, termasuk menggalakkan pihak sekolah melalui koperasi memperhebat aktiviti menjana pendapatan.

"Rancangan yang boleh dilaksanakan termasuk mengambil alih pengurusan kantin, mewujudkan taska dan menggalakkan tuisyen di sekolah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, sekolah yang mempunyai kawasan (tanah) yang luas boleh terlibat dalam bidang penanaman jangka pendek atau panjang.

"Kita akan sediakan platform dan membuat aturan perancangan yang rapi supaya ia dapat dijayakan sekali gus menjana pendapatan kepada koperasi sekolah," katanya.

Abdul Fattah berkata, berdasarkan statistik, 99 peratus daripada lebih 2,400 koperasi sekolah dikategorikan sebagai aktif termasuk sebahagian besar terlibat dalam aktiviti kedai koperasi yang menjual keperluan alat tulis.

"Sebanyak 500 koperasi sekolah terlibat dalam sektor peruncitan dan makanan ringan. Terbaru kita melancarkan penanaman 600 pokok kelapa di tanah seluas enam hektar di Kolej Vokasional Pasir Mas melalui koperasi.

"Diharapkan dalam tempoh tiga tahun, hasilnya akan diperoleh melalui penjualan secara borong atau pun runcit. Pasaran kelapa menggalakkan sama ada dijual sebagai kelapa muda atau diproses untuk santannya," katanya.

Menurutnya, tahun depan Angkasa menjangkakan 50 lagi koperasi sekolah bakal mencatat jualan sebanyak RM1 juta berbanding tujuh koperasi setakat ini.

"Kita juga mahu supaya agensi yang berkaitan memberikan bantuan dari sudut teknikal selain khidmat nasihat supaya projek dijalankan mampu menjana pendapatan besar kepada koperasi," katanya.

Dalam pada itu, pihak Angkasa juga akan mengesyorkan supaya syer pelajar dinaikkan daripada RM10 kepada RM100 manakala syer guru daripada RM100 kepada RM500 supaya ahli koperasi boleh memperoleh bayaran dividen yang besar.

Mengulas mengenai rancangan pengambilalihan kantin sekolah untuk diuruskan oleh koperasi pada masa akan datang, Abdul Fattah berkata selain menjana pendapatan kepada koperasi ia boleh memberi peluang kepada pelajar miskin untuk bekerja pada waktu rehat.

"Ini boleh melatih pelajar terlibat dalam bidang perniagaan selain memberi peluang kepada guru dan ibu bapa membekalkan barang kepada kantin sekiranya memenuhi syarat," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus