Pemandu Grab disyaki tokan dadah ditahan polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu Grab dipercayai tokan dadah ditahan bersama 28 peket plastik minuman 3 dalam 1 yang mengandungi dadah disyaki ekstasi dalam serbuan polis di Jalan Pudu Impian, Cheras di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dadah seberat 1.011 kilogram itu dianggarkan bernilai RM10,110 dirampas polis selepas menahan seorang pemandu Grab yang ketika itu sedang berhenti di Jalan Pudu Impian di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal polis menemukan sebungkus plastik berwarna hitam bercorak berisi 28 peket plastik minuman 3 dalam 1 mengandungi dadah.

“Siasatan mendapati suspek 34 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, jumlah rampasan dadah ini dianggarkan mampu dibekalkan kepada 2,000 orang penagih di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mendapatkan maklumat punca bekalan diperoleh dan penglibatan suspek dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula 30 Jun sehingga esok untuk melengkapkan siasatan di lokap Balai Polis Cheras,” katanya.

Artikel Berkaitan: