Tuanku Muhriz dukacita kes dadah, rogol tinggi

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad pada Majlis Penyampaian Tauliah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti hari ini. - Foto Bernama
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad pada Majlis Penyampaian Tauliah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA PILAH – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan rasa dukacita baginda dengan statistik penglibatan masalah sosial dan jenayah yang tinggi dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

Baginda bertitah lebih 90 peratus tangkapan yang dibuat ke atas kesalahan penyalahgunaan dadah adalah orang Islam terutamanya di kawasan Felda di Jempol, manakala daripada 83 kes tangkapan rogol yang dibuat sepanjang tahun ini, sebanyak 64 kes adalah tangkapan ke atas individu beragama Islam.

“Jenayah sumbang mahram pula melibatkan sembilan kes beragama Islam daripada 10 kes keseluruhan tahun ini.

“Remaja Islam di Malaysia juga terkenal aktif dalam aktiviti lumba haram motosikal sehingga mereka mendapat gelaran Mat Rempit manakala gerakan militan DAESH pula turut merekrut orang Islam yang salah faham mengenai nilai-nilai dalam agama Islam untuk berjuang atas nama Islam,” titah baginda di Majlis Pentauliahan Ahli-ahli Institusi Pentadbiran dan Perundangan Islam Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan keyakinanannya terhadap pihak polis dan agensi penguatkuasaan lain yang dengan sedaya upaya mereka berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat dan membanteras perlakuan jenayah.

“Apa yang Beta ingin ketengahkan ialah perancangan yang boleh kita lakukan agar generasi akan datang tidak melibatkan diri dalam perbuatan yang tidak diingini.

“Kita perlu merancang sekarang walaupun program yang dilaksanakan akan mula berkesan hanya pada 10 tahun akan datang. Jika tiada sebarang langkah dibuat sekarang, karekter yang buruk dalam masyarakat tidak akan berubah sampai bila-bila,” titahnya.

Artikel Berkaitan:

Baginda turut menyeru kepada jabatan berkenaan agar melihat keperluan lain yang mampu menambah baik perjalanan dan pengurusan agama Islam, di mana antara keperluan yang mendesak ialah pembinaan bangunan baru dan penambahan bilangan hakim serta pegawai untuk mahkamah syariah di negeri ini.

Hakim-hakim dan pegawai syariah tidak ditambah sejak 10 tahun lalu sedangkan kes syariah di negeri ini semakin meningkat,” titahnya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut seramai 64 orang ditauliahkan sebagai Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan bagi sesi 2018-2021. - Bernama