Usul turun had umur tidak libatkan daftar pengundi automatik: SPR

Azhar Azizan Harun - Foto Sinar Harian Adam Amir Hamzah
Azhar Azizan Harun - Foto Sinar Harian Adam Amir Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat ​hari ini berhubung Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun tidak melibatkan cadangan ​untuk pendaftaran pengundi secara automatik.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pelaksanaan usul pindaan kepada Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan itu, hanya boleh dilakukan setelah pindaan dibuat kepada Borang A di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Borang 10 di bawah Peraturan 19(10) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Beliau berkata, untuk tujuan tersebut, salinan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 perlu dibuat edaran di dalam sesi persidangan Dewan Rakyat untuk perhatian serta makluman ​ahli Parlimen.

​"Apa-apa usul mengenai pendaftaran pengundi secara automatik pula akan melibatkan pindaan kepada Perkara 119, khususnya Perenggan (4)(b) Perlembagaan Persekutuan​.​

​"​Pindaan ini adalah berbeza dari usul pindaan mengenai penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun​," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau menegaskan, penjelasan itu juga susulan terdapat laporan media yang tidak tepat ​​dan mengelirukan berkaitan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai pendaftaran pengundi secara automatik dapat dilaksanakan bersekali dengan pindaan had umur mengundi 18 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang muda jadikan politik lebih sukar dijangka: Najib

Terdahulu, Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dibentang bagi bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan bacaan kali kedua serta perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu akan dilakukan pada sidang Dewan kali ini yang berlangsung sehingga 18 Julai.

Pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 ahli Parlimen untuk diluluskan.