Bincang selesaikan isu lif tak siap

Amran A Rahman
Amran A Rahman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sedang berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung kerja menaik taraf lif yang masih gagal disiapkan di Pangsapuri Taman Larkin Idaman Plot C.

Namun Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata, kerja menaik taraf lif tersebut dijangka siap hujung tahun ini.

"Pihak MBJB juga sedang berbincang dengan pihak KPKT untuk menyelesaikan masalah agar pihak kontraktor dapat menyiapkan keseluruhan baki tujuh lif di pangsapuri berkenaan.

"Jangkaan kerja-kerja menaik taraf siap sepenuhnya adalah pada bulan Disember 2019," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Pada 25 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan aduan penduduk pangsapuri 12 tingkat itu yang tidak puas hati dengan kegagalan pihak kontraktor menyiapkan 14 buah lif di tujuh blok seperti dijadualkan.

Penduduk kini terpaksa bergantung kepada sebuah lif lama yang sering kali mengalami kerosakan hingga mengganggu aktiviti seharian terutama buat golongan tua dan OKU yang terpaksa menggunakan tangga.

Penduduk juga tidak puas hati terpaksa menanggung kos membaik pulih lif lama yang rosak mencecah RM15,000 setiap lif meskipun sepatutnya mereka telah menikmati lif baharu sejak Februari lalu.

Sementara itu, menurut Amran, kerja menaik taraf sedang dijalankan di setiap blok dan menurutnya kos penyelenggaraan lif lama ditanggung pihak pengurusan pangsapuri.

Artikel Berkaitan:

"Skop kerja pihak kontraktor yang telah dilantik adalah untuk menaik taraf kesemua 14 buah lif di pangsapuri tersebut.

Pihak kontraktor sedang menaik taraf tujuh buah lif dimana ianya melibatkan sebuah lif untuk setiap blok.

"Hasil pemeriksaan mendapati lif lama di setiap blok masih digunakan oleh penduduk dan kerja-kerja penyelenggaraan adalah ditanggung oleh pihak JMB," katanya.

Mengulas soal kerja naik taraf tersebut, Amran berkata empat daripada tujuh lif yang sedang dinaik taraf telah siap sementara tiga lagi masih belum disiapkan.

"Terkini dua lif telah pun diperiksa oleh JKKP (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) pada 19 Jun 2019 dan sedang menunggu sijil kelulusan untuk beroperasi.

"Baki tiga buah lif sedang dalam tindakan pihak kontraktor untuk disiapkan. Tempoh pemeriksaan oleh pegawai JKKP pula mengambil masa satu hari namun tarikh pemeriksaan bergantung kepada jadual pemeriksaan pegawai JKKP," katanya.