MFL umum EVC rakan kongsi baharu

Hamidin (kanan) bersalaman dengan Muhammad Nizamuddin.
Hamidin (kanan) bersalaman dengan Muhammad Nizamuddin.
A
A
A

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini, mengumumkan rakan kongsi baharu, Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, pengumuman itu menjadi satu sejarah baharu apabila MFL bersama EVC mencetuskan satu revolusi industri bola sepak tempatan ke peringkat lebih tinggi.

"Inilah cetusan idea Pengerusi MFL, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mahu menyaksikan penyokong memainkan peranan penting untuk menjana pendapatan pasukan.

"Ini kerana Tunku Ismail menaruh kepercayaan tinggi kepada penyokong untuk sama-sama memajukan Liga Malaysia," katanya di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Enervive, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Menurutnya, MFL bukan sahaja bertindak sebagai pengendali Liga Malaysia, malah juga memainkan peranan sebagai penyiar rasmi bola sepak tempatan bersama EVC.

"MFL percaya langkah baharu ini akan dapat membantu menjana pendapatan pasukan dengan lebih efektif apabila MFL tidak terlalu bergantung kepada mana-mana syarikat penaja dan stesen televisyen seperti dilakukan pada musim-musim lalu.

"Sekarang masa depan bola sepak Malaysia di tangan peminat di mana peranan mereka diibaratkan sebagai pemegang taruh kepada kelab masing-masing dengan menjana kewangan pasukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi penstrukturan semula Liga Malaysia, hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna terutama penyokong bola sepak tempatan.

Sebelum ini, hak penyiaran Liga Malaysia dipegang oleh syarikat-syarikat korporat dan stesen televisyen tempatan.

Bermula musim depan, MFL tidak lagi bergantung kepada syarikat penyiar bagi mendapatkan dana pembayaran hak penyiaran kepada setiap pasukan bertanding.

Sebaliknya, penyokong bakal memainkan peranan penting untuk menjana pendapatan pasukan dengan melanggan aplikasi yang bakal diperkenalkan oleh EVC dalam masa terdekat.

Dengan kemasukan rakan kongsi baharu itu, ia bakal menyaksikan setiap pasukan bertanding menerima hak penyiaran sama seperti musim lalu iaitu RM3 juta bagi pasukan Liga Super dan RM1 juta pasukan Liga Perdana.