PH perlu minta maaf kepada rakyat Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - PH perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana menghasut dan memfitnah bertahun-tahun berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Begitupun, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semuanya sudah terlambat kerana ‘fitnah sudah menang’.

Menurutnya, beliau juga hairan apabila ramai mempercayai propaganda PH sebelum ini terutamanya mendakwa GST adalah cukai yang berganda-ganda.

“Yang paling saya hairan ialah apabila saya baca balik propaganda-propaganda PH sebelum ini.

“Saya tengok ramai juga yang percaya (dan masih percaya) kadar cukai GST ialah +6 peratus +6 peratus +6 peratus, iaitu cukai yang berganda-ganda.

“Jikalau harga naik +6 peratus +6 peratus +6 peratus kerana GST, mengapa pula harga tidak jatuh -6 peratus -6 peratus -6 peratus selepas GST dimansuhkan?,” katanya dalam laman Facebook beliau.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, setelah berbulan-bulan bertegas harga barang turun selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kerajaan PH akhirnya mengaku kos sara hidup terus meningkat.

“Secara tidak terus, PH juga mengaku bahawa GST bukan sebab utama harga barang naik.

Artikel Berkaitan:

“Masanya sudah sampai untuk PH meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana telah menghasut dan memfitnah selama bertahun-tahun tentang GST siap berguling-guling di jalanraya,” ujarnya.

Najib turut mengakhiri statusnya itu dengan perkataan ‘#Lencun50’.