UMP tidak kompromi berhubung integriti akademik

Wan Azhar Wan Yusoff
Wan Azhar Wan Yusoff
A
A
A

PEKAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyediakan kemudahan Perisian Anti Plagiat Turnitin bagi membantu pensyarah dan pelajar menyemak kadar persamaan dalam rujukan dan penghasilan sesebuah tugasan.

Perisian berasaskan laman sesawang itu disediakan melalui perpustakaan universiti berkenaan dengan 3,000 lesen perisian itu dilanggan setiap tahun.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, perisian itu disediakan untuk kemudahan pelajar dan pensyarah UMP menyemak tugasan dan mengesan sebarang unsur plagiarisme dalam tesis serta penulisan akademik secara dalam talian.

Menurutnya, usaha itu sebahagian langkah pihak universiti membentung tindakan ahli akademik ataupun pelajar yang tidak berintegriti sama ada memalsukan hasil kajian atau dokumen, menyalahguna dana penyelidikan dan memplagiat hasil kerja orang lain tanpa keizinan.

“Perbuatan sedemikian boleh mencemar kesucian bidang pendidikan dan memberi impak terhadap usaha membangunkan modal insan di negara ini.

“Ia juga merupakan jenayah akademik yang bukan saja boleh menjejaskan profesionalisme mereka yang melakukannya, lebih buruk lagi boleh mencetuskan konflik jangka panjang yang mungkin menjejaskan kualiti ahli akademik atau bakal cendekiawan yang dihasilkan,” katanya.

Ir Dr Wan Azhar berkata, persekitaran pendidikan seharusnya menjadi lapangan untuk menerapkan nilai moral dan etika yang tinggi dalam diri generasi muda negara hari ini manakala aktiviti plagiat yang dilakukan ahli akademik atau graduan boleh merendahkan nilai harga diri dan ketinggian ilmu.

“Sekiranya gejala plagiarisme ini tidak dibendung, ianya akan memberi kesan terhadap kualiti graduan yang dilahirkan sekali gus menjejaskan perkembangan ilmu baharu yang seharusnya dicambah di menara gading,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, UMP tidak akan berkompromi dalam apa jua tindakan salah laku dan sekiranya didapati bersalah tindakan tegas akan diambil di bawah Kaedah 6: Larangan terhadap Plagiarism Kaedah-kaedah Universiti Malaysia Pahang (Tatatertib Pelajar Pelajar) 2009 dan Akta 605 (Akta Badan Berkanun) Tatatertib dan Surcaj 2000 Peraturan 3 (2) (a), (f), (g).

“Sekiranya terdapat aduan berhubung sebarang salah laku dalam penyelidikan seperti plagiat akan disiasat dan pihak universiti boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pelajar atau pensyarah di bawah peraturan dan akta yang sedia ada sekiranya terbukti bersalah,” katanya.

Beliau berkata, penyelidikan yang beretika hendaklah bersandarkan hasil yang asli dan berkualiti.

“Sebagai seorang ahli akademik, penyelidik atau pensyarah mestilah mempunyai kesedaran etika dan integriti yang tinggi malah menjadi tanggungjawab bersama untuk memperkasa dan membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan,” katanya.