Graduan TVET mudah dapat kerja, pendapatan lumayan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Graduan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran mudah dapat kerja dan mampu menjana pendapatan tinggi berbanding graduan bidang akademik.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, perkara itu terbukti di negara-negara seperti Australia, Jerman dan Singapura apabila rakyatnya mampu menjana pendapatan tinggi hasil daripada penekanan kemahiran TVET.

“Kita mahu anak-anak percaya bahawa bidang TVET itu melahirkan pekerja berkemahiran dan di mana-mana pun sesiapa yang mempunyai nilai kemahiran itu akan menerima gaji yang lebih,” katanya pada Pra Pelancaran Persidangan TVET 2019 dan Ikon TVET kementerian itu di KL Sentral hari ini.

Justeru, Kulasegaran menyeru ibu bapa memberi sokongan penuh kepada anak-anak mereka untuk menyertai bidang TVET sekaligus menyingkirkan tanggapan negatif mengenai aliran kemahiran itu.

Sementara itu, Kulasegaran berkata kementerian dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) akan mengadakan Persidangan TVET 2019 di Marriot Putrajaya pada 8 dan 9 Julai.

Beliau berkata, hasil persidangan itu akan turut menjadi panduan merangka hala tuju TVET dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan sebagai penyediaan ekosistem TVET yang relevan sekaligus mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

Pada majlis itu, Kulasegaran turut mengumumkan pelantikan penyanyi Yusry Abdul Halim atau dikenali sebagai Yusry KRU sebagai Ikon TVET kementerian dalam usaha menarik minat generasi muda menceburi bidang kemahiran.

"Yusry berperanan menyumbang pengalaman serta kreativiti bagi tujuan penjenamaan dan memberikan impak positif kepada masyarakat terutama belia mengenai kebaikan bidang TVET," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Yusry berkata beliau akan menggunakan pengalaman 27 tahun dalam bidang kemahiran muzik dan perniagaan untuk membantu anak muda mencapai kejayaan.

“Saya akan menggalas tanggungjawab ini sebaiknya dan nasihat pertama saya kepada belia semua sentiasa 'reinvent yourself to stay relevant' dan rajin untuk terus belajar benda baharu,” katanya.