Kelantan tolak cadangan KDN inkues orang asli Bateq

Mohd Amar bersama tetamu kehornat merasmikan Taman Memorial Keamanan Kota Bharu di Taman Al-fursan Pengkalan Chepa sempena peringatan 20 tahun hubungan Kota Bharu dengan Kasaoka Jepun.
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menolak cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu mempertimbangkan untuk mengadakan inkues kematian membabitkan 15 orang asli suku kaum Bateq di Kuala Koh, Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, KDN seolah-olah mempertikaikan kredibiliti agensi kerajaan dalam Kerajaan Persekutuan hari ini, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan ‘Hazardous Material Unit Team (Hazmat).

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri meninjau keadaan di Gua Musang dan mengeluarkan kenyataan kes yang berlaku bukan disebabkan perlombongan atau pencemaran.

“Kerajaan Kelantan tidak persoal hasil yang dikeluarkan agensi terlibat namun KDN seakan tidak yakin dengan kredibiliti Wan Azizah dan agensi kerajaan di bawah Kerajaan Persekutuan hari ini.

“Sepatutnya mereka (KDN) menumpu kepada kejadian pencemaran kimia di Pasir Gudang kerana kes kedua berlaku dalam tempoh yang singkat.

Mohd Amar berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Taman Memorial Keamanan Kota Bharu di Taman Al-fursan Pengkalan Chepa sempena Hari Peringatan 20 tahun hubungan Kota Bharu dengan Kasaoka, Jepun hari ini.

Mohd Amar
Mohd Amar

Hadir sama Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan, Dr Izani Husin dan Pengerusi Rohm Wako Co Ltd, Datuk Yosuke m Yoshioka.

Semalam, KDN menyuarakan kesediaan untuk mempertimbang cadangan mengadakan inkues kematian 15 orang asli suku kaum Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, supaya masyarakat mengetahui punca sebenar kematian berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, sebarang keputusan mengenainya akan diputuskan selepas kementerian menerima keputusan bedah siasat dan laporan kimia berhubung kematian berkenaan.

Mohd Azis yang menjawab soalan tambahan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang meminta KDN mengadakan inkues, sama ada secara terbuka atau tertutup berhubung kes berkenaan supaya mahkamah koroner boleh membuat keputusan mengenainya.