Pegawai APM dipatuk ular senduk

Nasarudin menerima lawatan daripada pegawai dan anggota APM di Hospital Seri Manjung. FOTO - IHSAN PEMBACA
Nasarudin menerima lawatan daripada pegawai dan anggota APM di Hospital Seri Manjung. FOTO - IHSAN PEMBACA
A
A
A

SITIAWAN - Seorang Pegawai Pertahanan Awam Daerah Manjung cedera selepas dipatuk seekor ular senduk ketika berehat di dalam pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Jalan Toh Perdana di sini awal pagi ini.

Kapten (PA) Nasarudin Abu Bakar yang berusia 59 tahun dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) bagi menerima rawatan selepas dipatuk di tapak tangan kirinya kira-kira jam 3.30 pagi.

Pegawai Operasi dan Bencana APM Daerah Manjung, Shamsur Shahuddin berkata, keadaan Nasarudin kini stabil namun perlu ditahan di wad HSM bagi menerima rawatan lanjut.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika Nasarudin terlena selepas membuat kerja di pejabatnya dan tiba-tiba tersedar sebelum di patuk ular senduk sepanjang 0.6 meter di tapak tangan kirinya.

"Ular berkenaan bukan ular hasil operasi APM, sebaliknya ular itu dipercayai masuk ke pejabat Nasarudin melalui lubang saluran di bilik air di pejabat kami," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas dipatuk ular Nasarudin berada dalam keadaan sedar dan berjalan keluar dari pejabat untuk beritahu kepada anggotanya supaya menangkap ular senduk itu.

"Dia (Nasarudin) kemudiannya di bawa ke hospital oleh anggota untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Artikel Berkaitan: