X

Kindly register in order to view this article
!

Manifestasi keindahan sebuah masjid

Masjid Sultan Ahmed di Istanbul, Turki antara yang disenaraikan sebagai masjid yang cantik.
A
A

BUKAN sahaja berperanan sebagai tempat beribadah semata-mata, malahan masjid juga menjadi pusat ilmu dan pembangunan ummah.

Fungsinya yang menyeluruh menjadikan rumah ALLAH itu sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Sudah tentu tempat tumpuan ramai perlu ada tarikan tersendiri. Ia bukan sahaja semata-mata mahu menggamit jemaah, malah sesiapa sahaja boleh melihat sendiri keindahan rumah ALLAH.

Siapa tahu kalau-kalau keindahan itu boleh menjentik hati orang bukan Islam untuk mendalami agama suci ini.

Keunikan dan ciri-ciri rumah ALLAH yang menawan kini boleh dilihat dengan kewujudan masjid-masjid di seluruh dunia.

Cantiknya bukan diukur hanya daripada pandangan mata, tetapi juga selesa dan membuatkan orang tertarik serta berlumba-lumba untuk untuk mengerjakan menjejakkan kaki ke Rumah ALLAH.

Antara jutaan masjid yang didirikan, terdapat beberapa masjid yang disenaraikan sebagai yang tercantik di dunia.

Pada tahun 2017, National Geographic dan The Telegraph mengambil pendekatan memberi ranking kepada masjid di seluruh benua.

Antara yang tersenarai ialah Masjid Biru di Turki dan Masjid Nasir al Molk di Shiraz, Iran.

Platform tempahan penginapan atas talian terkemuka, Agoda turut berbuat demikian.

Agoda meletakkan Masjid Putra di Putrajaya dan Masjid Hassan II di Maghribi antara yang singgahan paling gah untuk dilawati.

Berikut ialah masjid-masjid tercantik seperti yang diiiktiraf oleh National Geographic, The Telegraph dan Agoda serta beberapa laman web pelancongan lain:

1. Masjid Sultan Ahmed

Lokasi: Istanbul, Turki

Kapasiti: 10,000 orang

MASJID Sultan Ahmed atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru itu mula dibina antara tahun 1610 hingga 1616.

Menariknya, ia ialah hasil wawasan seni bina Sultan Ahmet 1 dari Empayar Uthmaniah sejak baginda berusia 13 tahun.

Istimewanya masjid itu, reka bentuknya meliputi enam menara tinggi tidak seperti masjid-masjid lain yang lazimnya mempunyai satu hingga empat menara.

Dikenali sebagai Masjid Biru kerana warna biru jubin yang mengelilingi dinding reka bentuk dalamannya. Selain berfungsi sebagai masjid, ia juga menjadi tarikan pelancong popular di Istanbul.

2. Masjid Kul Sharif

Masjid Kul Sharif di Kazan, Rusia.
Masjid Kul Sharif di Kazan, Rusia.

Lokasi: Kazan, Rusia

Kapasiti: 6,000 orang

PEMBINAAN masjid itu sudah lama iaitu pada tahun 1552 lagi dan ia antara yang terbesar di Eropah.

Bagaimanapun, bangunan itu telah didirikan semula pada tahun 1996 dan siap pada tahun 2005 dengan ciri-ciri seni bina moden.

Sebenarnya, masjid itu ada tiga kawasan utama iaitu bangunan masjid, batu peringatan dan sayap pentadbiran.

Keseluruhan kompleks masjid itu mempunyai kawasan seluas 19,000 meter persegi.

3. Masjid Hassan II

Masjid Hasan II di Casablanca, Maghribi.
Masjid Hasan II di Casablanca, Maghribi.

Lokasi: Casablanca, Maghribi

Kapasiti: 105,000 jemaah

DI benua Afrika, Masjid Hassan II merupakan antara masjid yang terbesar di situ.

Menampilkan menara masjid tertinggi di dunia dengan ketinggian 210 meter, bangunannya dihiasi dengan jubin-jubin berbentuk geometri Islamik.

Bezanya, ia menjadi salah satu masjid di Maghribi yang membenarkan pelawat bukan beragama Islam memasukinya.

Menurut portal popular Indonesia, Tribunnews, pemandangan paling indah di masjid itu apabila seseorang melihatnya dari sudut atas, akan kelihatan lautan Atlantik yang begitu luas.

4. Masjid Besar Sheikh Zayed

Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu.
Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu.

Lokasi: Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu

Kapasiti: 40,000 jemaah

MULA dibuka kepada umum pada tahun 2007, masjid itu begitu terkenal di dunia kerana merupakan antara rumah ALLAH yang terbesar.

Pada satu-satu masa, ia boleh menempatkan hingga 40,000 jemaah dan dilawat lebih 5 juta pengunjung setiap tahun.

Istimewanya masjid itu, ia menampilkan dinding marmar seputih salji, cendelier kristal emas 24-karat dan permaidani tenunan tangan yang terbesar di dunia dengan ukuran 5.63 meter persegi.

5. Masjid al-Haram

Masjid al-Haram di Makkah.
Masjid al-Haram di Makkah.

Lokasi: Makkah, Arab Saudi

Kapasiti: Lebih 1.5 juta jemaah

SIAPA yang tidak kenal dengan satu-satunya tempat yang merupakan kiblat umat Islam di seluruh dunia ketika menunaikan solat.

Malah, masjid agung paling suci yang menjadi tempat untuk menyempurnakan ibadah haji dan umrah umat Islam itu mampu menampung sehingga empat juta jemaah.

Tidak lama lagi, Masjid al-Haram akan dibanjiri dengan jutaan umat Islam yang bakal mengerjakan Rukun Islam ke-5.

6. Masjid Putra

Masjid Putra di Putrajaya.
Masjid Putra di Putrajaya.

Lokasi: Putrajaya, Malaysia

Kapasiti: 15,000 jemaah.

RUMAH ALLAH yang menjadi tanda ikonik di Putrajaya itu mempamerkan gabungan seni reka bentuk Timur Tengah dengan kehalusan seni bina tempatan.

Nampak hebat bukan? Apatah lagi ia boleh menempatkan 15,000 jemaah pada satu-satu masa.

Selain itu, dinding bawah tanah masjid itu hampir menyerupai Masjid Raja Hassan di Casablanca, Maghribi, manakala menaranya pula dipengaruhi seni bina Masjid Sheikh Omar di Baghdad.

7. Masjid Nasir Al Molk

Masjid Nasir Al Molk di Shiraz, Iran.
Masjid Nasir Al Molk di Shiraz, Iran.

Lokasi: Shiraz, Iran.

Kapasiti: Lebih 25,000 orang

TERKENAL dengan jolokan Masjid Merah Jambu kerana jubinnya yang berwarna demikian, rumah ALLAH itu begitu popular.

Menurut portal merdeka.com, usia masjid itu menjangkau lebih satu abad, tetapi seni binanya masih lagi memukau sehingga kini.

Barangkali ada yang kata masjid itu tidak semegah dengan rumah ALLAH yang lain apabila dilihat dari pandangan luar masjid, namun apabila kita melihat di bahagian dalam masjid, paling tidak pun pasti akan terbit perasaan kagum.

Paling menarik ialah warna-warni pelangi di sekeliling masjid itu.

8. Masjid Istiqlal

Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia.
Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia.

Lokasi: Jakarta, Indonesia.

Kapasiti: 25,000 orang.

USIA masjid itu lebih empat dekad dan ia merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara.

Terletak di bekas Taman Wilhelmina di tengah-tengah bandar Jakarta, Rumah ALLAH itu boleh menempatkan hingga 120,000 orang pada satu-satu masa.

Memetik portal Direktorat Urusan Agama Islam dan Pembinaan Syariah Direktorat Jenderal Bimas Islam, Kementerian Agama Republik Indonesia, masjid itu mempunyai gaya seni bina moden dengan dinding dan lantai berlapis mamar yang dihiasi hiasan geometrik.

Bangunan itu bukan sahaja sebagai tempat ativiti ibadah untuk umat Islam, tetapi turut digunakan sebagai pejabat pelbagai organisasi Islam di Indonesia, aktiviti sosial dan kegiatan umum.

9. Masjid Jama

Masjid Jama di New Delhi, India.
Masjid Jama di New Delhi, India.

Lokasi: New Delhi, India

Kapasiti: 25,000 jemaah

MASJID itu sarat dengan ceritanya yang tersendiri. Ia dicetuskan Maharaja Mughal, Shah Jahan.

Kemangkatan isteri tercinta membuatkan kesedihan Shah Jahan tidak berpenghujung. Maka, Shah Jahal mengambil keputusan untuk berpindah dari Agra ke Delhi. Bandar Shahjahanabad diasaskan dan Masjid Jama telah menjadi masjid kepada pusat bandar baharu itu.

Menurut portal culturalindia.net, masjid berkenaan mengambil masa enam tahun untuk disiapkan dengan menggunakan 5,000 tukang dan dirasmikan pada 23 Julai 1656.

Menariknya, beberapa peninggalan agama Islam seperti transkrip al-Quran yang dicetak pada kulit rusa, sandal dan janggut merah kepunyaan Nabi Muhammad SAW ada ditempatkan di situ.

10. Masjid Shah Faisal

Masjid Shah Faisal di Islamabad, Pakistan.
Masjid Shah Faisal di Islamabad, Pakistan.

Lokasi: Islamabad, Pakistan

Kapasiti: 10,000 jemaah

JIKA diteliti pembinaan masjid itu, ia agak panjang. Rancangan untuk membangunkannya sudah lama iaitu pada tahun 1966 lagi, tetapi mula dibina pada tahun 1976 dan hanya siap 10 tahun kemudian.

Menurut portal republika.co.id, seni bina masjid tersebut begitu moden dan unik kerana dibangunkan tanpa kubah tradisional dan gerbang yang terdapat seperti di kebanyakan masjid.

Apapun, secantik manapun masjid itu, jangan sesekali kita berasa megah dengannya. Sebaliknya imarahkan rumah ALLAH itu dengan pelbagai aktiviti ilmiah dan bermanfaat untuk ummah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus